26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Fitnah bukan kritikan, maki hamun bukan kebebasan bersuara

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

ADA perkara menarik boleh diperkatakan apabila Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) membidas Pakatan Harapan (PH) kerana tidak memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ketika pakatan itu menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Kata mereka, walaupun memegang kuasa kerajaan pusat antara Mei 2018 dan Februari 2020, Kerajaan PH tidak mengambil apa-apa langkah untuk memansuhkan atau meminda kedua-dua undang-undang ini, sekali gus gagal menunaikan janji mereka dalam Buku Harapan.

Kritikan itu dibuat berikutan siasatan polis ke atas kenyataan Dr. Xavier Jayakumar mengenai persidangan Parlimen Isnin lepas.

Soalnya, kenapakah LFL hanya sibuk membangkitkan soal janji PH berhubung dengan Akta Hasutan? Bagaimana pula dengan janji-janji lain melibatkan rakyat yang tidak ditunaikan?

Kenapa mereka tidak lantang mendesak Kerajaan PH ketika berkuasa melaksanakan segala janji dalam manifesto?

Seperkara lagi, kebebasan bersuara ada hadnya. Kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang itu boleh memaki hamun mana-mana pihak sesuka hati.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan dan provokasi berkaitan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu melalui satu rakaman video berdurasi hampir 3 minit.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Pendakwaan/Undang-undang) Mior Faridalathrash Wahid berkata, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu akan dipanggil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – setakat ini sudah 33 laporan polis dibuat di seluruh negara.

Tindakan LFL mempertikaikan tindakan ke atas Xavier tiada bezanya dengan ‘kebijaksanaan’ sekumpulan 39 NGO yang mendesak Menteri Kesihatan Dr.Adham Baba menarik balik saman terhadap Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) yang mendakwa beliau menyalahkan kuasa dalam menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat.

Kata NGO-NGO tersebut, apa yang dilakukan oleh Dr.Adham “hanyalah percubaan untuk menakut-nakutkan dan menutup mulut pengkritik.”

Apa yang dilakukan oleh C4 bukannya mengkritik tetapi berunsur fitnah apabila mengaitkan menteri itu dengan sebuah syarikat yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) bernilai RM30 juta.

Notis saman ke atas sebuah NGO kerana memfitnah Dr Adham Baba. – Gambar media sosial

Dr. Adham berhak mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama beliau kerana disebabkan kebiadaban C4, Dr.Adham telah dipandang serong sehingga ada yang menuduh tidak sampai dua bulan jadi menteri sudah salah guna kuasa.

Kesan terhadap Dr.Adham amat besar, oleh itu beliau berhak bertindak ke atas C4 dan menuntut ganti rugi juga sebanyak RM30 juta. Tidak salah untuk mengkritik tetapi C4 bukan mengkritik tetapi memfitnah.

Justeru itulah seperti mana kata seorang peguam kepada sebuah portal berita, saman bukanlah satu bentuk gangguan sekiranya plaintif mendapati komen yang dibantahinya itu adalah fitnah dan mencalarkan reputasi dirinya.

Kata beliau, pemegang jawatan awam tidak boleh menganggap diri mereka tidak boleh dikritik, tetapi berkata, mereka (penjawat awam) juga tidak semestinya “berdiam diri dan menerimanya” jika kritikan yang ditujukan kepada mereka mengandungi unsur fitnah.

Katanya, mahkamah menyediakan peluang adil kepada pihak-pihak yang bertelagah membuktikan dakwaan masing-masing.

Kalau C4 yakin mempunyai bukti terhadap apa yang mereka katakan, jangan takut untuk dibuktikan di mahkamah.

Oleh itu LFL dan NGO-NGO tidak payahlah menggunakan kebebasan suara untuk mempertahankan sesuatu tindakan yang menimbulkan kemarahan atau mana-mana individu.

Sememangnya kita menyokong kebebasan bersuara tetapi ia harus ada hadnya. Kalau kebebasan bersuara dijadikan alasan untuk memfitnah dan mencaci hamun, apa akan jadi kepada masyarakat negara ini.

Penulis mahu bertanya kepada LFL dan NGO-NGO adakah mereka akan berdiam diri jika mereka difitnah dan dimaki hamun atas nama kebebasan bersuara?

Kalau mereka sendiripun tak boleh berdiam diri, tidak payahlah menyibuk dengan apa yang dilakukan Dr. Adham dan pihak polis. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan