KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan bahawa pihaknya tidak menghalang pendakwah bebas, Ebit Lew daripada menyampaikan sumbangan kepada orang ramai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya memberikan kebenaran itu selagi pendakwah terbabit mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Setakat ini tiada kertas siasatan yang dibuka ke atas beliau. Walau bagaimanapun PDRM ingin menegaskan tiada sesiapa yang boleh dikecualikan dari tindakan undang-undang ke atas sebarang pelanggaran yang berkaitan pelaksanaan PKP.
“Dalam melaksanakan apa jua aktiviti, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, penggunaan topeng muka dan penggunaan pencuci tangan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ebit menerusi akaun Facebooknya berkata, beliau akan berehat daripada kerja-kerja pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan sepanjang PKP berlangsung dan hanya menyampaikan wang tunai menerusi pemindahan akaun.

Sementara itu, Huzir berkata, kes membabitkan Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suami akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan.
Hal ini kerana anak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu didapati melanggar peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 3) 2020 dengan melakukan pergerakan tanpa kebenaran.
“Kedua-dua mereka telah pun diambil keterangan semalam. Setelah siasatan dilengkapkan, PDRM akan merujuk kertas siasatan tersebut ke Pejabat Peguam Negara,” kata beliau.
Nurul Hidayah telah memuat naik gambar pertemuan beliau dan suami dengan beberapa menteri dan timbalan menteri untuk “bertukar-tukar pendapat dan cadangan” ketika PKP sehingga mendapat kecaman netizen.