30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024
Home Blog Page 5

Tiada pencemaran sulfur dari letusan gunung berapi Ruang – JAS

0

JABATAN Alam Sekitar (JAS) mengesahkan tiada peningkatan bacaan pencemar sulfur dioksida atau nitrogen dioksida daripada letusan gunung berapi Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia dikesan di negara ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, kejadian itu juga tidak meningkatkan bacaan pencemar pepejal terampai, ozon dan karbon monoksida yang direkodkan.

Malahan menurut beliau, letusan gunung berapi Ruang pada 16 April lalu itu tidak menjejaskan kualiti udara di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Asap debu letusan tidak memberi kesan ketara kepada bacaan IPU stesen-stesen pengawasan kualiti udara di kedua-dua negeri tersebut.

“Tiada peningkatan bacaan pencemar pepejal terampai (PM2.5 dan PM10), sulfur Dioksida (SO2), Nitrogen Dioksida (NO2), Ozon (O3) dan Karbon Monoksida (CO) yang direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Wan Abdul Latiff berkata, sehingga pukul 10 malam tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan tiada stesen yang mencatat kualiti udara pada tahap tidak sihat.

Sebaliknya, kata beliau, 21 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 47 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Bagaimanapun, Wan Abdul Latiff berkata, JAS akan terus memantau bacaan IPU dari masa ke semasa dan bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web JAS di alamat http://apims.doe.gov.my.

Orang ramai juga boleh memantau bacaan IPU dengan memuat turun aplikasi MyIPU menerusi Google Play.

Kelmarin, sebanyak 214 penerbangan keluar masuk ke Sabah dan Sarawak terpaksa dibatalkan susulan letusan gunung berapi di Pulau Ruang pada Selasa lalu.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, pembatalan kesemua penerbangan itu menjejaskan seramai 33,864 penumpang yang keluar masuk dari dua negeri terbabit untuk tempoh dua hari pada Khamis dan Jumaat lalu, susulan letusan berkenaan.

Letusan abu tebal dikhuatiri menjejaskan ruang udara sekitar termasuk Sabah, memaksa syarikat penerbangan mengambil langkah membatalkan sementara penerbangan.

Empat syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air dan Firefly terpaksa membatalkan kesemua penerbangan membabitkan dua negeri berkenaan.

Letusan itu yang memaksa beribu-ribu penduduk sekitar berpindah apabila lahar mengalir ke kampung mereka, mula mengeluarkan abu beberapa jam kemudian dan disusuli kepulan asap 400 meter di atas puncak.

Agensi volkanologi sebelum itu memberi amaran bahawa aktiviti gunung berapi di Ruang masih tinggi dengan potensi bahaya termasuk batu terbang, awan panas dan aliran lahar. – Edisi 9

Usahawan Thalia Baiduri kecewa sikap buruk pembantu rumah

0

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri mengakui terkejut dan kecewa dengan sikap pembantu rumahnya yang selama ini dianggap baik.

Malah wanita itu melayan pembantu rumahnya seperti keluarga sendiri, tidak disangka rupa-rupanya hanya bertopengkan agama.

Menerusi pendedahan yang dimuat naik di laman sosial miliknya, Thalia berkata dia terkejut apabila mendapat tahu perkara sebenar tentang pembantu rumah yang dipanggil Bibik Elly tidak berlaku jujur.

Difahamkan Bibik Elly melayan anak bongsunya dengan teruk sehingga membiarkan kanak-kanak itu busuk berbau hancing dan bermain dengan air tandas.

“Saya tidak pernah mengesyaki apa-apa sebab dia sangat baik di depan saya malah tidak pernah tinggal solat Dhuha.

“Semuanya terbongkar apabila mesejnya bersama teman lelakinya dikirimkan oleh individu berkenaan.

“Apabila saya bertanya mengenai perkara itu, dia menafikan tetapi bukti jelas apabila kami menerima mesej yang dia kirimkan kepada kekasihnya dan memaki hamum kami termasuk mendoakan saya dan anak saya mampus,” katanya dalam pendedahan berkenaan.

Thalia berkongsi pendedahan itu dalam satu siaran langsung di akaun TikTok Thalia.Baiduri minggu lalu dan mendapat respon warganet yang mahu mengetahui kisah sebenar yang berlaku.

Beberapa sedutan mengenai pendedahan berkenaan turut dikongsikan di akaun yang sama.

Thalia yang juga pernah berlakon berkata, selepas perkara berkenaan terbongkar segala kebenaran mengenai bibik Elly sampai ke pengetahuannya dan suami melalui dua lagi pembantu rumah.

“Saya memang hairan sebelum ini bila anak saya berbau busuk setiap kali saya balik kerja, malah badannya juga penuh dengan luka.

“Apabila saya bertanya kepadanya, dia siap bersumpah dengan nama Allah dia jaga anak saya dengan baik.

“Rupa-rupanya anak saya sudah beberapa kali jatuh dan dibiarkan sendirian tanpa dibersihkan, bibik lain tidak berani dengan dia kerana dia sudah lebih setahun berkhidmat dengan saya.

“Saya memang tidak pernah syak sebab bila dia sebut Allah saya fikir takkan dia tergamak main nama Allah,” katanya.

Thalia berkata, pembantu rumah berkenaan juga didapati leka bermain cinta dengan lelaki senegara dengannya yang kononnya bekerja sebagai juruterbang.

Katanya, pembantu rumah berusia lewat 40-an itu terbuai dan asyik dilamun cinta dengan lelaki berkenaan sehingga sanggup mengabaikan tugas hariannya.

“Saya difahamkan dia bercinta dengan pilot dan yang kelakarnya habis duit pada lelaki itu. Saya tidak masuk campur cuma bila sampai tugas terabai dan anak saya jadi mangsa memang saya tidak boleh terima.

“Malah bila kita panggil untuk bersemuka pun dia tidak menunjukkan sebarang penyesalan serta tiada langsung ucapan maaf yang keluar dari mulut,” katanya.

Lantaran itu, suami Thalia Datuk Shahriza Amir meminta bibik berkenaan keluar dari rumah dan menamatkan perkhidmatannya serta merta.

“Saya hilang kata-kata dengan sikap bibik berkenaan, tak apalah tiada rezeki dia bekerja dengan saya.

“Apa yang penting kita sudah pulangkan dia pada agen dan keselamatan anak kami terjamin,” katanya.

Beliau mengakui serik dengan kejadian itu sehingga ragu-ragu untuk memilih pembantu rumah. -Edisi 9

Hassan Merican ketuai Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada PM

0

BEKAS Pengerusi Petronas, Tan Sri Hassan Merican mengetuai Jawatankuasa Penasihat Dasar Kepada Perdana Menteri bersama tiga lagi anggotanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa tersebut akan memberi khidmat nasihat terkait soal pembangunan negara dan daya tahan ekonomi sejajar dengan Ekonomi Madani.

Selain Hassan yang bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut, tiga lagi anggotanya ialah Pengerusi Eksekutif FVSB Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi, Prof Dr Yeah Kim Leng dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Nungsari Ahmad Radhi.

“Penubuhan jawatankuasa ini susulan berakhirnya tempoh Jawatankuasa Penasihat Kepada Menteri Kewangan (ACFIN) pada Februari 2024 yang juga dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican.

“Cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh ACFIN telah mendapat pertimbangan sewajarnya dan sebahagian daripadanya kini dalam proses pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri pada masa sama memberitahu, jawatankuasa yang dilantik ini tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan. – Edisi 9

Jadikan persidangan cawangan wadah suntik kebersamaan – Zahid

0

PERSIDANGAN UMNO peringkat Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan yang bermula di seluruh negara hari ini sehingga 2 Jun, perlu dijadikan wadah untuk menyuntik nilai kebersamaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, persidangan peringkat akar umbi itu juga diharapkan dapat menjunjung prinsip kesetiaan terhadap perjuangan.

Beliau berkata, ahli-ahli di peringkat akar umbi perlu menggunakan ruang dan peluang ini untuk berbincang mengenai apa juga isu-isu dengan penuh rasional dan berhikmah.

“Santunilah ahli dan dekatilah para pengundi agar mereka yakin bahawa agenda UMNO hanyalah untuk memastikan kestabilan politik negara dan menjamin kebajikan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Persidangan peringkat cawangan turut membabitkan Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan melibatkan 191 bahagian UMNO di seluruh negara, kecuali Sarawak.

Zahid berkata, cawangan yang aktif adalah nadi yang akan meneruskan denyutan perjuangan UMNO di bahagian dan di peringkat kebangsaan.

Katanya, persidangan UMNO itu adalah platform menggarap strategi dan rancangan agar UMNO bersama kita perkuatkan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai kekuatan dan rangkaian sehingga ke peringkat akar umbi.

“Persidangan di peringkat cawangan adalah bukti UMNO mempunyai struktur yang mantap melebar sehingga ke 191 Bahagian dari Perlis hinggalah ke Sabah.

“Semoga Allah SWT memberkati dan mempermudahkan segala urusan dalam melunaskan perjuangan demi memenuhi tuntutan agama, bangsa dan tanah air yang kita sama cintai ini.

“Kepada semua perwakilan cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri. Selamat bersidang! Inilah masanya untuk memperkukuh perpaduan, memperkasa kesatuan,” katanya. – Edisi 9

Anwar tidak mahu gopoh merealisasikan janji reformasi

0

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu bertindak secara bijaksana dan tidak gopoh dalam merealisasikan perubahan agar tidak mengorbankan kepentingan jangka panjang.

Perdana Menteri berkata, beliau akui wujud harapan menggunung yang diletakkan kepada Kerajaan Madani bagi melaksanakan janji-janji reformasi sebelum ini.

“Teladani sejarah-sejarah lalu dalam bertindak, umpamanya Revolusi Perancis yang begitu hebat namun taraf hidup petani di Perancis hidup lebih parah 10 tahun selepas revolusi kerana kegopohan membawa pembaharuan,” katanya.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Konvensyen 25 Tahun parti itu di Shah Alam hari ini.

Biarpun begitu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak pernah kompromi soal perjuangan reformasi yang menjadi identiti PKR, bahkan ia sedang berjalan.

Anwar Ibrahim bersalaman dengan anggota PKR selepas menyampaikan amanat sempena Konvensyen 25 Tahun PKR di Shah Alam hari ini.

Katanya, pada masa kini Malaysia sudah punyai badan kehakiman dan penguat kuasa yang bebas daripada campur tangan politik.

Reformasi fiskal negara juga, jelas beliau, sedang pesat dilaksanakan dengan dasar negara yang jelas telah menarik pelaburan bernilai tinggi hingga Malaysia berjaya mencatat jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara sebanyak RM329.5 bilion tahun lalu.

“Jadi ayuh kita teruskan gerak kerja pasukan bersama rakan gabungan Perpaduan sekali gus menidakkan usaha gerombolan-gerombolan desperado yang cuba menggugat kestabilan pentadbiran ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar juga mengingatkan semua anggota di peringkat nasional, negeri, cabang mahupun ranting untuk terus memperkukuh jentera parti dengan memantau secara dekat setiap pelaksanaan program.

Kata beliau, ini bukan masanya untuk mereka terpukau dengan kuasa sebaliknya perlu terus menjulang serta menyemarak perjuangan reformasi dan memastikan parti keramat ini menjadi gergasi dalam sistem politik negara.

“Saya juga telah arahkan pimpinan parti untuk membantu jentera di bawah bagi memberikan penerangan terkait agenda serta insiatif Kerajaan Madani kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya. – Edisi 9

Rupanya ini punca Syasya undur diri daripada Dolla

0

SEMAKIN terang lagi bersuluh punca kenapa Syasya Rizal mengundurkan diri daripada Dolla ketika nama kumpulan M-Pop itu sedang meniti di persada Asia.

Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal rupa-rupanya mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim ketika mendedahkan perkara itu berkata, rancangan mendirikan rumah tangga antara faktor pengundiran Syasya daripda Dolla.

“Ingin dikongsi berita gembira buat semua yang mana Syasya mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya hari ini.

“Ini juga antara faktor utama kenapa Syasya memilih untuk tidak lagi bersama Dolla,” katanya seperti dilapor media.

Anggota kumpulan Dolla sebelum pengunduran Syasya (dua kanan).

Kim Lim  berharap berita tersebut menamatkan segala spekulasi yang beredar berikutan pengunduran mengejut Syasya baru-baru ini.

“Kita doakan semoga segala apa yang sudah dirancang Syasya akan berjalan lancar sab dipermudahkan. Diharap ikatan perkahwinan yang dibuna berkekalan hingga ke jannah.

“Apa yang penting juga, semoga berita gembira inimenghentikan segala spekulasi tidak tepat yang timbul. 

“Kami jug berharap agar semua pihak dan peminat akan terus menyokong kerjaya seni dan karya Dolla,” katanya.

Terdahulu, kumpulan yang turut dianggotai oleh Sabronzo, Tabby dan Angel itu mengumumkan pengunduran Syasya pada 8 April lalu atas sebab-sebab peribadi.

Beberapa hari kemudian, tular rakaman video oleh ibunya yang menunjukkan Syasya tampil bertudung.

Pada masa kini, nama Dolla semakin melonjak di peringkat Asia sejak mewakili negara dalam program Show It All di China.

Aksi lincah Dolla ketika membuat persembahan kini tular dan meraih pelbagai pujian dalam kalangan warganet tempatan dan luar negara. – Edisi 9

PN umum calon PRK Kuala Kubu Baharu 25 April – Muhyiddin

0

PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan calonnya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Khamis 25 April ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemilihan calon itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN, esok.

“Pada mesyuarat, esok, kita akan membincangkan calon mana yang paling sesuai atas dasar boleh menang. Kita ada banyak calon tetapi apapun, mana-mana parti yang ada cadangan hendak kemukakan nama calon (lain), kita terima.

“Kita akan menilai siapa calon yang bakal dinamakan, dari segi kelayakan akademik dan pembabitan dalam badan bukan kerajaan.

“Sebaik-baiknya calon yang dikemukakan ialah calon dari kawasan Hulu Selangor dan tempatan, kerana sentimen orang tempatan perlu diambil kira,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu, hari ini.

Pada pilihan raya negeri, tahun lalu, Lee Kee Hiong daripada DAP berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

Kerusi itu diisytiharkan kosong selepas Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu.

Pengundian bagi PRK itu akan berlangsung pada 11 Mei depan, manakala hari penamaan calon pada 27 April. – BERNAMA

Zahid optimis rakyat akan kembali menyokong UMNO

0

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan keyakinan bahawa rakyat akan kembali menyokong parti keramat UMNO.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh ahli parti agar sama-sama berjuang bagi memastikan parti itu terus relevan terutamanya di Sabah.

“Ujian demi ujian kita tempuhi bersama sebagai keluarga besar UMNO Sabah dengan sabar dan penuh istiqomah. Namun, usaha mesti diteruskan dan yakinlah ianya pasti akan mengangkat darjat kita agar kembali gemilang. Insya-Allah.

“UMNO akan terus jadi parti sandaran rakyat untuk memajukan negeri ini dan membela kebajikan mereka. Percayalah kita akan laksanakan yang terbaik demi rakyat Sabah,” kata Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Putatan di Putatan, Sabah malam tadi.

Turut hadir Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed.

Zahid berkata, saya Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), beliau menyatakan komitmennya untuk memastikan keberkesanan setiap usaha pembangunan memberikan impak dan keberhasilan kepada Sabah dan rakyatnya.

Beliau mahu lebih ramai anak muda di Sabah diberikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bagi menampung permintaan tenaga mahir daripada pelabur asing atau domestik di negara ini.

Katanya, baru-baru ini beliau ditawarkan oleh China untuk menghantar 2,000 pelajar Malaysia bagi mengikuti program TVET dengan biasiswa penuh ke negara berkenaan justeru beliau mahu memastikan 500 daripada tempat itu diisi oleh anak muda Sabah.

“Saya beri jaminan generasi muda di Sabah turut diberikan pendidikan TVET… ini juga bagi memastikan anak muda Sabah dilatih serta diberikan pekerjaan berdasarkan teknologi tinggi,” katanya.

Zahid juga berkata, Sabah menerima RM11.34 bilion pelaburan tahun lepas, justeru potensi pelaburan yang besar perlu diterjemah kepada pembangunan ekonomi rakyat di negeri itu terutama bagi membuka ruang kepada lebih banyak peluang pekerjaan.

Beliau berkata GiatMARA adalah institusi TVET yang diberi kepercayaan untuk melaksanakan agenda meningkatkan kemahiran generasi muda dan setakat ini, terdapat 1,345 institut itu di Malaysia. – Edisi 9

Tindakan MCA, MIC rugikan parti mereka sendiri – Wan Rosdy

TINDAKAN MCA dan MIC enggan turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada parti tersebut.

Sebaliknya, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tindakan kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu akan menjauhkan lagi mereka daripada masyarakat yang diwakili.

Beliau berkata, walaupun menghormati keputusan yang dibuat, namun sebagai rakan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan, mereka harus menerima apa jua keputusan untuk meletakkan siapa calon yang sesuai bertanding di kerusi tersebut.

“Dalam meraikan politik baharu yang lebih matang terutamanya selepas PRU-15, parti-parti komponen BN (Barisan Nasional) termasuk UMNO sekalipun harus menerima perubahan ini kerana kita telah bersetuju bersama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Formula kerjasama ini telah memberikan kita peluang lebih baik seperti mana kemenangan yang telah BN capai ketika PRK Pelangai dan juga Tioman,” kata beliau yang juga Menteri Besar Pahang dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap MIC dan MCA mempertimbangkan semula tindakan mereka itu agar kemenangan PRK kali ini terus kekal menjadi milik Kerajaan Perpaduan yang menjadi teras kepada kestabilan dan kemakmuran negara ketika ini.

Beliau mengulas keputusan MCA tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu jika calon kerajaan perpaduan bukan daripada BN, semalam.

Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat menjelang PRK pada 11 Mei.

Sebelum ini Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, parti itu tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu kerana tidak ditandingi calon BN.

Pakatan Harapan (PH) dijangka akan meletakkan calon daripada DAP dalam PRK tersebut memandangkan kerusi tersebut sebelum ini menjadi milik parti berkenaan.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP pada 21 Mac lalu akibat barah. – Edisi 9

KPT laksana moratorium pelawaan IPT berstatus swaakreditasi

0

DALAM usaha memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan moratorium pelawaan sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) berstatus swaakreditasi dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, perkara itu wajar dilakukan supaya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dapat melihat semula kriteria penilaian sebagai IPT berstatus swaakreditasi.

Katanya, moratorium itu hanya membabitkan permohonan baharu dan bukan yang sedang diproses oleh MQA.

“Selain itu, pengauditan dan penambahbaikan berterusan lebih berstruktur kepada semua IPT swaakreditasi sedia ada turut akan diadakan.

“Pelaksanaan ini wajar dilakukan mengambil faktor penilaian yang telah dibentangkan dan keperluan kita memelihara status IPT berprestij di negara ini,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus MQA bersama IPT Berstatus Swaakreditasi di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MQA; Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA menjalankan tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti), Mohamad Dzafir Mustafa dan Pengarah Kanan (Akreditasi), Mohd Khairul Nizam Ibrahim dan wakil 19 IPT swaakreditasi.

Azlinda berkata, beliau turut menyarankan setiap IPT swaakreditasi untuk memperkukuh pusat jaminan kualiti mereka dengan kakitangan yang mahir dilengkapi dengan latihan yang diiktiraf oleh MQA.

Sebagai contoh, penyertaan program Certified Quality Assurance Officer (CQA) perlu menjadi kriteria utama untuk kakitangan yang ditempatkan di pusat jaminan kualiti universiti.

“Program CQA anjuran MQA akan mengiktiraf pegawai dan ahli akademik sebagai pegawai penilai jaminan kualiti dalaman di universiti secara langsung menjadikan mereka sebagai cermin MQA untuk IPT swaakreditasi,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, setiap IPT di Malaysia yang berstatus swaakreditasi adalah sebuah universiti yang berprestij.

Katanya, status ‘berprestij’ itu perlu dinilai dan diertikan sebagai sebuah universiti yang menjadi rujukan, panduan dan penandaarasan oleh universiti, kolej universiti, kolej dan PPT lain di negara ini.

“Reputasi ini adalah signifikan untuk dikekalkan dan dipelihara oleh semua IPT swaakreditasi,” katanya. -Edisi 9

Beberapa masalah rencat perancangan selesai isu air di UMS

0

PERANCANGAN bagi menyelesaikan isu bekalan air di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedikit terencat ekoran beberapa masalah lain yang timbul, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, antara masalah yang timbul ialah isu bekalan air yang diuruskan oleh Jabatan Air Negeri Sabah tidak mencukupi, tekanan air yang rendah serta isu non-revenue water (NRW) di paip-paip kawasan luar menyebabkan bekalan air tidak sampai kepada pengguna di UMS.

Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan negeri Sabah dan Jabatan Air Negeri Sabah sedang berusaha bersungguh-sungguh memastikan bekalan saluran air dapat dibekalkan ke kampus UMS dan sekitarnya.

“Saya telah berbincang dan mengarahkan agar semua gerak kerja ini akan diselesaikan sesegera mungkin melalui apa jua kaedah secara bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Air Negeri Sabah.

“Pembangunan pesat yang sedang berlaku di sekitar UMS terutamanya pembinaan Hospital UMS juga perlu dititikberatkan oleh pihak UMS dan Jabatan Air Negeri Sabah agar bekalan adalah tersedia dan mencukupi untuk jangka masa panjang,” katanya hari ini.

Semalam, Zambry bersama Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengadakan lawatan mengejut ke UMS bagi melihat sendiri situasi di kampus universiti itu ekoran rintihan dan keluhan warganya berhubung krisis air.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menyelesaikan krisis air di kampus UMS dan tambahan RM2 juta lagi diluluskan oleh Zambry.

Beliau berkata, buat masa sekarang pihak UMS telah memasang sembilan ‘tube well’ yang dapat membekalkan sehingga 1 juta liter air sehari namun ia tidak mencukupi memandangkan keperluan bagi warga kampus ialah sebanyak 5 juta liter sehari.

“Namun demikian, masalah utama air di UMS ini ialah bekalan air yang tidak mencukupi dan ini diuruskan oleh Jabatan Air Negeri Sabah. Saya difahamkan YAB Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah sedang bersungguh-sungguh memastikan saluran air mencukupi dapat dibekalkan ke UMS dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Beliau turut melawat kawasan tangki air besar yang merupakan antara tangki utama saluran air untuk kawasan sekitar Sepanggar dan juga untuk UMS.

Namun demikian, katanya, dalam kebanyakan keadaan, bekalan air yang tidak cuku serta tekanan air rendah di dalam tangki besar tersebut menyebabkan air tidak dapat di pam dan disalurkan ke paip-paip sekitar.

“Bersebelahan dengan tangki besar ini, juga sedang dalam pembinaan ialah sebuah tangki utama khas untuk kegunaan dalam UMS. Insya-Allah apabila siap, sedikit sebanyak dapat meningkatkan peratusan UMS memperolehi bekalan air yang terhad daripada Jabatan Air Negeri Sabah,” katanya. – Edisi 9

UMNO bukan parti ‘Malaya’ tapi perjuang seluruh rakyat – Zahid

0

UMNO bukan sebuah parti ‘Malaya’ (Semenanjung) sebaliknya ia adalah sebuah parti kebangsaan yang memperjuangkan nasib rakyat seluruh negara termasuk di Sabah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata justeru itu, usaha membawa ia masuk ke Negeri Di Bawah Bayu suatu ketika dahulu bukan untuk memecah-belahkan parti dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung, sebaliknya adalah usaha menyatukan rakyat di negara ini di bawah payung yang sama.

Beliau berkata rakyat Sabah sendiri yang inginkan UMNO masuk ke Sabah malah Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), mahu ‘percantuman’ jiwa antara rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“UMNO asalnya tiada hasrat untuk masuk ke Sabah tetapi UMNO dijemput oleh orang Sabah. Rakyat Sabah yang mahukan UMNO bersama-sama berkembang di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Putatan di Kota Kinabalu malam tadi.

Turut hadir Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohamed.

Ahmad Zahid juga berkata permintaan dan cita rasa rakyat Sabah diterjemahkan ketika itu malah beliau sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia telah datang ke negeri berkenaan membawa borang keahlian apabila parti tersebut ditubuhkan di Sabah.

Beliau berkata kerja kuat, kesatupaduan rakyat Sabah khususnya peribumi dan bumiputera Sabah membuatkan UMNO menjadi gemilang dan menjadi kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata rakyat Sabah dan UMNO telah diuji dalam keadaan yang sukar namun beliau yakin bahawa ujian tersebut akan memberi kejayaan kepada parti.

“Apa yang sedang kita alami ini, jika berlaku peristiwa besar pada tahun ini, mungkin kalau tidak di pertengahan tahun, di tiga perempat tahun atau selewat-lewatnya tahun depan, saya yakin kalaulah ini semangat yang diperlihatkan, kemenangan akan memihak kepada kita,” katanya. – BERNAMA