32.3 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024
Home Blog Page 6

Usanita pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

0

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd, pelakon dan pengacara Awal Ashaari dilantik sebagai wajah Usanita 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan berkata, pemilihan Awal tidak hanya sekadar sebagai rakan strategik tetapi komitmen yang diberikan meyakinkan pihaknya untuk melantik Awal sebagai wajah USANITA 2024.

“Empat tahun Usanita ditubuhkan, kita merancang pelbagai program demi membantu usahawan di luar sana.

“Dengan pelantikan Awal diharap kami dapat menembusi industri hiburan yang pastinya memberi nilai tambah positif.

“Bagi memastikan Usanita kekal aktif terutamanya di platform sosial media, beberapa program sudah dirancang bersama Awal sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Usanita2024, baru-baru ini.

Adzliana berkata, antara program yang bakal dilaksanakan ialah program bual bicara bersama tetamu jemputan yang terdiri daripada usahawan dan selebriti yang dihoskan oleh Awal yang dikendalikan bersamanya.

“Melihat kejayaan podcastHitam Putih yang dijalankan bersama Datuk Rosyam Nor, saya rasa momentum ini harus di perkuatkan lagi dengan melahirkan beberapa program YouTube baharu yang akan disiarkan di YouTube Channel Usanita.

“Program bual bicara ini berkonsep segar yang akan ditayangkan sebanyak 15 episod dan menampilkan selebriti tanah air serta mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk berkongsi pengalaman jatuh bangun mereka dalam mengarap kejayaan,” katanya.

Sementara itu, Awal berkata, dia percaya program baru ini memberi nafas baharu dan pilihan yang sedikit berbeza kepada penonton.

“Kita mahu sajikan sesuatu yang lebih segar dan bersifat santai kepada penonton sambil itu boleh memberikan inspirasi kepada mereka yang melihatnya,” katanya.

Adzliana berkata, pihaknya berharap dengan kerjasama bersama Awal dapat memberi perspektif baharu pada Usanita dengan cadangan dan pandangan daripada beliau.

Awal juga akan memberikan pelbagai tips dan perkongsian tentang penjenamaan, penjagaan diri sebagai usahawan dan cara untuk tampil berkeyakinan bersama Perintis Usanita secara maya dan juga secara bersemuka pada tahun ini.

Sejajar dengan matlamat Usanita untuk menawan media sosial pada tahun 2024 ini, Usanita bukan sahaja melahirkan program sendiri namun sentiasa bekerjasama dengan pencipta kandungan media sosial yang lain.

Usanita juga akan bekerjasama dengan sebuah rancangan podcast yang sedang meningkat naik iaitu Apa Cerita? yang dikendalikan oleh Asyraf Khalid and Ishraq Kamarudin dimana 10 episod istimewa ini akan memaparkan sesuatu yang istimewa dengan suntikan penjenamaan Usanita. -Edisi 9

Taiwan destinasi sempurna untuk berbulan madu

TAIWAN ialah destinasi yang sesuai untuk berbulan madu, menawarkan destinasi romantik yang menakjubkan dan aktiviti yang tidak dapat dilupakan.

Sebagai salah satu destinasi paling meriah di Asia, Taiwan telah menjadi semakin popular dan menjadi trend di kalangan pasangan berbulan madu, menawarkan pengalaman yang unik dan menarik untuk pengantin baru.

Apabila bercakap tentang destinasi romantik, Taiwan mempunyai banyak lokasi menarik yang sesuai untuk pasangan. Salah satu lokasi itu ialah Tasik Sun Moon, sebuah tasik yang indah dan tenang yang dikelilingi oleh hutan yang subur dan bukit bukau, menawarkan pelbagai tunggangan bot romantis dan pendakian yang menakjubkan.

Satu lagi destinasi romantis ialah Jiufen, sebuah bandar lama yang indah yang dipenuhi dengan lorong-lorong yang menawan dan kedai teh, menghadap ke pemandangan indah pantai Taiwan.

Taiwan juga mempunyai banyak aktiviti menarik dan tidak dapat dilupakan yang sesuai untuk berbulan madu.

Sebahagian daripada ini termasuk Yehliu Geopark yang menakjubkan, menampilkan formasi batuan yang menarik dan pemandangan laut yang unik, serta pelbagai sukan air yang menyeronokkan, termasuk meluncur, jet ski dan snorkeling.

Selain itu, bandar raya Taiwan yang meriah menawarkan banyak peluang kepada pasangan pengantin untuk meneroka budaya tempatan, masakan dan kehidupan malam.

Taiwan juga adalah destinasi yang semakin mesra Muslim, dengan pelbagai restoran dan penginapan mesra halal disediakan, menjadikannya destinasi hebat untuk berbulan madu Muslim.

Sama ada anda berminat untuk mencuba makanan jalanan Taiwan yang lazat, menerokai kawasan kejiranan tradisional Muslim atau melawat masjid yang indah dan pusat Islam, Taiwan mempunyai sesuatu untuk setiap jenis pengembara. -Edisi 9

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1 Disember ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

“UMNO percaya pengumuman tersebut pastinya mampu menyantuni harapan dan aspirasi penjawat awam sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika merasmikan sambutan Hari Pekerja kelmarin, Perdana Menteri membuat pengumuman bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula Disember ini, iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

Beliau berkata, peningkatan gaji itu akan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus,” jelas beliau.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

Asyraf Wajdi berkata, dalam mesyuarat tersebut UMNO turut menyatakan komitmen penuh mereka untuk membantu calon kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao yang mewakili Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

“UMNO memberikan komitmen penuh untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan Malaysia yang diwakili oleh Parti Pakatan Harapan dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu dengan menggerakkan jentera Bahagian daripada seluruh negeri Selangor dan Negeri-Negeri yang diterajui UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan mengadakan sambutan Ulang Tahun Ke-78 parti itu secara serentak di seluruh negara pada 11 Mei 2024 melalui Badan-badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri.

“Ibu Pejabat UMNO Malaysia bersama Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan akan mengadakan majlis solat hajat, bacaan yasin dan doa selamat bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur,” katanya. – Edisi 9

‘Oppa’ adaptasi kisah guru jadi mangsa ‘Love Scam’

0

TIDAK dinafikan kes yang membabitkan jenayah scam sememangnya cukup serius sehingga mangsa ditipu dan mengalami kerugian dari segi wang ringgit.

Kejadian itu telah mencetuskan idea buat syarikat produksi Dream Film Sdn. Bhd. menghasilkan sebuah filem berjudul Oppa.

Pengarahnya, Captain Denil berkata, ia adalah sebuah filem tentang jenayah ‘love scam’ yang sering berlaku dalam segelintir masyarakat sekarang.

“Kadang-kadang saya berasa pelik kerana ada mangsa jenayah ini terdiri daripada golongan terpelajar. Mungkin kurangnya kesedaran menjadi faktor utama apabila masih ramai yang menjadi mangsa.

“Ia memberikan idea kepada saya untuk menghasilkan filem Oppa ini, sekurang-kurangnya mesej boleh disampaikan kepada masyarakat menerusi platform filem,” katanya.

Denil berkata, filem arahannya itu turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Oppa memaparkan kisah seorang guru yang bercinta dengan seorang jejaka Korea, tetapi mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit apabila kekasihnya itu tiba-tiba menghilangkan diri.

Lebih malang lagi, guru berkenaan turut menjadi buruan Ah Long apabila dia meminjam wang daripada mereka semata-mata untuk diberikan kepada kekasihnya itu. 

Filem berkenaan menampilkan Theo Jang, pelakon yang berasal dari Korea Selatan serta influencer popular, Jacqueline Goh Wan Yi serta pelakon-pelakon tempatan lain seperti Lee Zi Qi, Amanda Tan, Sadiq M Jamil, Chen Kuoyang dan ramai lagi.

Denil berkata, tajuk ‘Oppa’ dipilih bukanlah semata-mata kerana populariti artis K-Pop di negara ini, tetapi berlaku kejadian di mana ada individu menggunakan gambar artis kacak Korea Selatan untuk memperdayakan mangsa menerusi ‘dating apps’ di media sosial.

Jalan cerita yang dipaparkan dalam filem ini adalah adaptasi kisah sebenar yang pernah berlaku berdasarkan laporan kepada pihak polis.

“Untuk menghasilkan filem Oppa kami telah mendapat kerjasama daripada PDRM dan menariknya terdapat kira-kira 80 orang anggota polis sebenar yang turut terbabit menjadi pelakon untuk menjayakan filem ini.

“Seorang pegawai polis iaitu Penolong Ketua Pengarah ACP Lai Lee Ching turut bertindak sebagai Pengarah Projek dan beliau banyak membantu produksi dari segi penyelarasan jadual anggota polis agar kerja-kerja penggambaran dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Denil mengakui kesukaran mencari penaja dan pelabur untuk menghasilkan filem berkenaan ternyata memberi cabaran tersendiri buat dirinya.

Menurutnya, ketika peringkat awal pembikinan, tidak ramai yang berminat untuk melabur kerana Oppa bukanlah sebuah filem komersial.

“Filem ini lebih kepada memberi kesedaran dan berbeza dengan filem berbentuk komersial. Namun, ia langsung tidak melemahkan semangat kami.

“Apa pun saya lega dan ingin berterima kasih kerana masih ada yang sudi melabur untuk merealiasikan filem Oppa, termasuk kepada PDRM yang sangat banyak membantu kami,” katanya.

Dalam pada itu, Denil juga mengharapkan agar filem terbaharunya itu dapat memberi impak kepada penonton.

“Paling penting, kepada mereka yang menonton filem Oppa nanti akan sedar tentang bahayanya jenayah ‘love scam’ yang semakin kerap berlaku.

“Sekurang-kurangnya cerita yang dipaparkan boleh menjadi pengajaran supaya tidak terperangkap dengan kes jenayah sebegini.

Filem OPPA Love Scam akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 9 Mei ini. -Edisi 9

CTOS sumbang RM30,000 biayai pelajar kurang bernasib baik

CTOS Digital Berhad telah menyumbang sebanyak RM30,000 untuk dana biasiswa bagi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS, Erick Hamburger berkata, biasiswa tersebut akan digunakan untuk membiayai 100 pelajar paling kurang bernasib baik di sekolah itu dengan sumber bagi mengutamakan pendidikan mereka.

Beliau berkata, ramai daripada pelajar kurang bernasib baik tidak meneruskan persekolahan atau menangguhkan pendidikan kerana masalah hidup lain.

“Melalui biasiswa pelajar CTOS, kami berharap memberikan sokongan yang berterusan kepada pelajar kami untuk menjadikan pendidikan matlamat utama mereka hingga ke peringkat pengajian tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut hadir untuk menerima sumbangan tersebut Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SK Tasek Permai, Fauzalina Ahmad.

Hamburger berkata, dana tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif CTOS Care dalam usaha memperluas tanggungjawab sosial korporatnya.

Menurut beliau, ini bagi untuk mengurangkan ketidakseimbangan dan ketidakadilan dalam pendidikan serta membantu menyediakan pendidikan inklusif, mudah capai dan berkualiti dalam komuniti.

“Usaha literasi kewangan kami telah menyebabkan lebih daripada 4 juta orang mendaftar untuk perkhidmatan semakan diri CTOS untuk mengurus kewajaran kredit mereka.

“Namun, sebagai agensi pelaporan kredit terkemuka Malaysia, kami sentiasa menerokai peluang untuk memberikan lebih banyak bantuan dan memberi balik kepada komuniti adalah tanggungjawab yang kami ambil dengan serius.

“Tiada yang lebih serius daripada pendidikan generasi akan datang kita dan saya berharap sumbangan kami dapat memainkan peranan kecil dalam membantu pelajar SK Tasek Permai, Ampang mencapai potensi penuh mereka,” katanya. – Edisi 9

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar pukul 8.30 malam tadi.

Menurut kenyataan kelab pasukannya, Terengganu FC (TFC) bagaimanapun berkata, pemain tersebut berada dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan di Hospital Sultanah Nir Zahirah (HSNZ).

“Kelab Terengganu FC memandang serius terhadap perkara yang berlaku kepada beliau. Pihak PDRM juga sedang membuat siasatan terhadap perkara yang berlaku,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial kelab itu lewat malam tadi.

Pada masa yang sama, TFC memohon agar tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi liar terhadap insiden tersebut bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan pihak berkuasa.

“Kami juga ingin menyeru buat para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh Malaysia agar dapat mendoakan kesembuhan buat Akhyar Rashid,” katanya.

Tangkap layar Akhyar Rashid (berkerusi roda) sedang menunggu untuk menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Akhyar merupakan salah seorang pemain JDT yang dipinjamkan kepada TFC musim ini bagi memperkuatkan pasukan Pantai Timur itu mengharungi saingan Liga Malaysia.

Beliau bergandingan dengan seorang lagi pemain pinjaman JDT, Safawi Rasid untuk memperkukuhkan serangan TFC. – Edisi 9

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat Sukan Hi Tech Zone, Chengdu, China sebentar tadi.

Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia beraksi dengan penuh yakin apabila menewaskan Kenta Nishimoto dengan straight-set 21-13, 21-3 dalam masa 33 minit sekali gus meletakkan pasukan negara mendahului 1-0.

Bagaimanapun, Jepun berjaya menyamakan kedudukan apabila Aaron Chia-Soh Wee Yeik tewas 21-18, 14-21, 19-21 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Ini merupakan kekalahan ke lapan beregu utama negara itu di tangan Hoki-Kobiyashi dalam 10 pertemuan dengan

Leong Jun Hao yang turun selaku perseorangan kedua berjaya meletakkan Malaysia kembali di hadapan apabila membenam Koki Watanabe dengan straight-set 21-13, 21-10.

Malaysia melengkapkan kemenangan 3-1 apabila juara Asia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani beraksi cemerlang untuk melakar kemenangan ke atas Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 21-15, 21-12.

Menanti Malaysia di separuh akhir adalah pasukan tuan rumah, China yang turut melakar kemenangan 3-1 ke atas juara bertahan, India.

Kali terakhir Malaysia mendakap trofi teragung itu 32 tahun lalu ketika menewaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir edisi 1992 di Kuala Lumpur. – Edisi 9

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja Sindrom Down, Bella.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu bagi mengetepikan sabitan bersalah ke atasnya atas dua pertuduhan itu.

“Isu-isu yang ditimbulkan perayu dan pembelaan perayu gagal menimbulkan keraguan munasabah.

“Mahkamah ini mendapati bahawa tiada sebab yang mewajarkan untuk mengusik dapatan-dapatan yang telah dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen dan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan ke atas perayu adalah selamat dan dikekalkan.

“Oleh yang demikian, rayuan perayu adalah ditolak,” kata hakim itu seperti dilapor UtusanTV.

Noorin dalam penghakimannya berkata bahawa mahkamah mendapati Siti Bainun tidak terkeliru dengan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya sehingga menyebabkan dia tidak berupaya untuk membela diri.

“Keseluruhan prosiding iatu melalui keterangan-keterangan yang dikemukakan dan pemeriksaan-pemeriksaan balas yang panjang terhadap saksi pendakwaan menzahirkan bahawa perayu tahu, tidak terkeliru dan faham bahawa pertuduhan- pertuduhan terhadapnya adalah pengabaian dan penganiayaan yang telah dilakukan olehnya secara fizikal dan emosi terhadap mangsa,” katanya.

Selain itu menurut beliau, mahkamah turut mendapati bahawa tidak berlaku prejudis terhadap Siti Bainun samada sebelum perbicaraan bermula dan selepas Hakim Mahkamah Sesyen meminda pertuduhan kedua terhadap perayu di akhir kes pendakwaan.

Katanya lagi, tidak terdapat kekhilafan di pihak Hakim Mahkamah Sesyen di dalam dapatannya bahawa pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap kes mereka.

“18 kecederaan dan parut di badan mangsa telah dibuktikan oleh kesemua saksi-saksi pegawai perubatan bahawa kecederaan-kecederaan tersebut adalah disyaki kecederaan bukan kemalangan (non accidental injuries) dan bukan kecederaan dilakukan secara kendiri (self inflicted injuries).

“Mahkamah ini mendapati penilaian secara maksimum telah dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana terhadap keterangan saksi mata, SP5 yang mana keterangannya disokong oleh semua saksi perubatan yang merupakan saksi pakar yang telah memeriksa mangsa.

“Mahkamah ini mendapati bahawa berdasarkan keseluruhan keterangan-keterangan yang dikemukakan menjuruskan kepada perayu dan perayu sahajalah orang yang tekah menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi mangsa,” katanya lagi.

Sebelum ini pada 3 Mei tahun lalu, media melaporkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas mendapati Siti Bainun bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella yang berusia 13 tahun ketika kejadian.

Pelaburan RM10.5 bilion bukti Microsoft yakin ekonomi negara

PELABURAN sebanyak RM10.5 bilion oleh syarikat gergasi Microsoft membuktikan keyakinan para pelabur asing terhadap asas ekonomi negara yang kukuh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik juga menambah keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini.

“Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti kecerdasan buatan (AI) dalam negara,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella di Putrajaya hari ini.
Mereka kemudian bersama-sama menghadiri Forum Kepimpinan AI Kebangsaan.

Dalam pertemuan itu, Nadella mengumumkan persetujuan mereka untuk menambah pelaburan berjumlah USD2.2 bilion atau RM10.5 bilion dalam tempoh empat tahun mendatang.

Satya Nadella dan Anwar Ibrahim turut menghadiri Forum Kepimpinan AI Kebangsaan di Putrajaya.

Anwar berkata, jumlah tersebut adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft sejak bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

Beliau berkata, pelaburan tersebut meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan AI serta mewujudkan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang.

Selain itu, Microsoft juga akan menubuhkan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangunan sistem di negara ini.

Pada 2021 lalu, Microsoft turut mengumumkan pembinaan pusat data syarikat itu, iaitu yang pertama di negara ini.

Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaburan RM4 bilion oleh Microsoft dengan pembukaan pusat data serantau pertamanya di Malaysia itu akan menjana lebih 19,000 peluang pekerjaan.

“Pelaburan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Microsoft Bersama Malaysia yang merupakan satu komitmen Microsoft untuk membangunkan landskap ekonomi digital selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital,” kata Muhyiddin seperti dilapor media. – Edisi 9

Ramasamy, Fadhli amal kempen menyesatkan – Puad Zarkashi

PRESIDEN Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy dan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dianggap mengamalkan kempen menyesatkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Ini kerana menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu mengajak pengundi India untuk tidak menyokong calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

“Saya pernah berdebat dengan P. Ramasamy pada tahun 2008 di UUM (Universiti Utara Malaysia). Dia baru menang Parlimen Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Ketika itu saya sudah beranggapan dia tidak boleh pergi jauh. Dia profesor yang masuk politik tetapi akan mati di tengah jalan. Betul pun.

“Ramai profesor tidak realistik bila masuk politik. Ramasamy tubuh parti baharu. Dia tahu dia tidak ada magnet untuk tarik penyokong.

“Dia bukan ikon pembela kaum India. Dia masuk politik tanpa grassroots. Sebab itu partinya tidak berani bertanding di PRK Kuala Kubu Baharu,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Mohd Puad turut membidas Fadhli yang mempersoalkan latar belakang pendidikan calon PH dari DAP tersebut.

“Fadhli Shaari pun satu hal. Tiada keperluan mainkan isu Pang Sock Tao calon DAP berkelulusan SJKC. Itu bukan sekolah haram.

“Kalau dia lulus sekolah kecantikan atau sekolah pondok sekali pun apa masalahnya?

“Kedua-dua P Ramasamy dan Fadhli Shaari sebenarnya mengamalkan kempen menyesatkan,” katanya. – Edisi 9

In Saff Travel tawar pakej umrah serendah RM4,970

0

BERUSAHA memberikan yang terbaik terhadap pelanggannya, syarikat pengendali pakej umrah, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd menampilkan pakej umrah serendah RM4,970.

Ditubuhkan pada 1 Disember 2014, tujuan pakej murah itu disediakan bagi memberi peluang kepada semua orang untuk merasa menjejakkan kaki ke Masjidil Haram dan Raudah.

Pengarah Urusan  In Saff Travel & Tours Sdn Bhd Mohd Fahmi Mohd Nawi berkata, mengambil kira situasi ekonomi yang semakin mencabar ini, pihak mereka sentiasa peka dan mencari jalan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menjadi Tetamu Allah.

“Kami yakin bahawa bukan duit yang memberikan peluang umrah, tetapi Allah SWT yang menjemput kita sebagai tetamuNya.

“Allah tidak memanggil siapa yang mampu, tetapi dia mampukan orang yang mahu, rindu dan yakin.

“Pakej ini juga ditawarkan kepada mereka yang berkerja dan agak susah untuk mendapatkan cuti yang panjang. Inilah antara peluang untuk mereka menunaikan umrah dengan selesa dan ruang masa yang tidak lama,” katanya pada majlis pelancaran pakej berkenaan, baru-baru ini.

Mohd Fahmi berkata, trip pelepasan pertama pakej yang diberi nama Pakej Super Jimat selama 9 hari 7 malam telah berlepas pada hujung Februari yang lalu dengan penerbangan AirArabia.

“Syukur, Alhamdulillah, Jemaah berpuas hati dengan harga dan perkhidmatan yang kami tawarkan. Terdapat banyak testimoni secara sukarela daripada bekas Jemaah yang kami terima, dan bukannya testimoni berbayar.

“Malah terdapat ramai ‘repeat customers’ dalam trip ini. Semua ini berlaku kerana kekuatan kami dalam merealisasikan pakej ini yang mendapat rekomendasi dari jemaah yang pernah pergi bersama kami.

“Insya-Allah, untuk trip kedua dengan harga pakej yang sama kami akan berlepas pada 2 dan 3 Mei ini menaiki penerbangan Malaysia Airlines.

“Ini adalah peluang terbaik dan sukar untuk dipercayai oleh orang ramai, kerana semua sedia maklum harga pakej umrah yang ditawarkan sekarang ini memang mahal sehingga kami pernah dicop scammer,” katanya lagi.

Untuk penerbangan pada 2 dan 3 Mei, seramai 566 Jemaah akan diterbangkan ke Tanah Suci dengan menaiki dua buah kapal Malaysia Airlines.

“Kami mempunyai ramai alumni jemaah In Saff Travel & Tours, ada yang sudah beberapa kali ‘repeat’ pakej umrah bersama kami.

“Malah ada juga yang ‘repeat’ turut membawa bersama keluarga, rakan-rakan dan saudara sehingga ada yang turut menjadi ejen sah kami,” katanya.

Pakej Super Jimat ini akan terus dilaksanakan sehingga April 2025 dengan pelbagai pilihan penerbangan. In Saff Travel & Tours akan meneruskan usaha dengan menyediakan pakej-pakej yang menjimatkan kos dan memberi keselesaan buat semua. -Edisi 9

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

0

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing.

Baginya tidak perlu sampai bergaduh hanya disebabkan lelaki bersikap seperti seekor ‘buaya’.

Thalia berkongsi perkara itu ketika sesi siaran langsung yang diadakan di laman sosial TikTok miliknya @thalia.baiduri malam tadi ketika bersembang bersama pengikutnya.

Pelakon drama Cinta Dalam Hati bergandingan bersama dengan Remy Ishak itu berkata, dia berharap golongan wanita menjaga maruah mereka dalam setiap tindakan yang dibuat.

“Sebagai orang yang pernah dalam industri dan saya juga seorang wanita saya harap tak payahlah kita sampai bergaduh untuk seekor buaya atau kumbang.

“Wanita kena jaga value, awak semua cantik, kenapa kita hendak bergaduh sesama kita wanita dan buka aib sana buka aib sini.

“Macam rendah sangat darjat kita, kita wanita kena jadi mahal, bukan berlumba-lumba buka aib sesama kita, Astaghfirullah takut saya,” katanya dalam sesi siaran langsung itu.

Kata-kata Thalia itu turut disokong dan mendapat persetujuan dari netizen yang mengakui bahawa wanita perlu ada nilai dan harga diri sendiri.

“Setuju Tin (Datin), kita (wanita) ada nilai,” kata pengikut bernama Sim Ahza.

Thalia yang juga pengusaha produk makanan tambahan untuk kecantikan Dolly Milk dan jenama fesyen Talia berkata, industri hiburan Malaysia juga kecil dan tidak perlu bergaduh sesama artis.

“Industri kita kecil, pusing -pusing akan jumpa muka yang sama, lebih baik berhenti bercakap yang bukan-bukan,” katanya.

Thalia mengakui cinta juga akan membuat seseorang itu buta dan membuat tindakan yang tidak sepatutnya namun penyesalan pasti akan dirasai di kemudian hari.

” Memang cinta itu buta, kita semua dan saya pun pernah muda, contoh macam mak kita halang jangan keluar dengan orang itu, kita nak juga sebab darah muda apa yang dihalang itulah yang dibuat.

“Percayalah cakap saya suatu hari nanti sesalan akan datang dan kita tahu kenapa dulu mak kita halang,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu juga berharap warganet dan pihak lain tidak menghangatkan isu ini.

“Saya berharap semua pihak jangan menambah-nambah dalam isu ini yang memalukan dan dibaca oleh semua peringkat umur.

“Saya sendiri seorang ibu yang ada anak perempuan dan anak lelaki, memang takut bila baca pendedahan yang dibuat.

“Saya selalu berdoa dan beringat jangan seronok melihat aib orang kerana bimbang boleh terkena kepada kita, lebih baik kita doa yang baik-baik sahaja,” katanya.

Thalia berkata demikian bagi mengulas isu hangat yang sedang diperkatakan membabitkan pendedahan seorang wanita dari Singapura dalam episod curang pelakon Aliff Aziz.

Wanita itu turut mengaitkan beberapa nama selebriti lain termasuklah Ruhainies, Sophia Albarakbah dan Meerqeen.

Isu itu turut mendapat maklum balas beberapa penggiat seni lain termasuklah Erma Fatima dan Zed Zaidi yang juga berang dengan isu yang disifatkan memalukan dan memburukkan nama industri hiburan tempatan. -Edisi 9