31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024
Home Blog Page 4

Muhyiddin anggap Aidilfitri tahun ini paling mencabar

0

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap sambutan Aidilfitri tahun ini paling mencabar bagi rakyat negara ini.

Menurut beliau, dalam situasi kenaikan kos sara hidup yang berterusan sejak setahun lalu terutama harga bahan makanan, kos perkhidmatan, tarif elektrik dan beberapa jenis cukai lagi, persiapan raya sedikit sebanyak sudah pasti terjejas.

“Saya amat memahami keadaan ini dan berdoa semoga saudara-saudari bersabar dan tabah menghadapi ujian ini,” katanya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut umat Islam di seluruh negara hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut mengajak semua untuk mengingati umat Islam lain yang diuji dengan kesukaran hidup, mala petaka, bencana alam serta penindasan sama ada di tanah air sendiri mahupun di tempat lain seperti di Palestin.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga pergolakan yang sedang berlaku akan segera berakhir dan mereka dapat kembali menikmati kehidupan yang sebenar, bebas, merdeka dan tidak lagi ditindas,” katanya.

Muhyiddin turut mendoakan agar Allah menerima segala amal ibadah yang dilakukan, memakbulkan doa dan menganugerahkan kita ganjaran Lailatul Qadar, insya-Allah.

Sempena Aidilfitri ini juga, katanya, jangan lepaskan peluang untuk mengeratkan silaturahim sesama kita dan kepada yang memandu sentiasa berhati-hati di jalan raya. – Edisi 9

Agong seru raikan Syawal dengan kukuhkan perpaduan

0

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menyeru seluruh rakyat meraikan Syawal dengan amalan ziarah-menziarahi bagi mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.

Titah Seri Paduka Baginda, seluruh rakyat diminta mengambil peluang untuk bermaaf-maafan sesama kita, terutama dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan taulan.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan kita sesama manusia, pasti ada yang tersinggung atau terasa hati. Semoga bulan yang mulia ini meningkatkan perasaan kasih sayang sesama kita,” titah Seri Paduka Baginda sempena Hari Raya Aidilfitri yang disambut umat Islam di Malaysia hari ini.

Titah Sultan Ibrahim, kedatangan bulan Syawal ini disambut dengan penuh rasa gembira dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan.

“Mudah-mudahan, segala amalan yang telah dibuat pada bulan Ramadan yang lalu akan mendapat keberkatan dan diterima oleh-Nya,” titah Seri Paduka Baginda menerusi Facebook hari ini.

Sementara itu Bernama melaporkan, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara, hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 8.23 pagi diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.

Solat sunat Aidilfitri berkenaan dipimpin Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.

Ini kali pertama Seri Paduka Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Istana Negara selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu. – Edisi 9

Jadikan Aidilfitri iltizam perkukuh perpaduan – Zahid

0

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh rakyat memanfaatkan Aidilfitri untuk membina iltizam bagi memperkukuh perpaduan dan membentuk kebersamaan tanpa mengira latar belakang kehidupan, budaya, keturunan dan pegangan agama.

“Marilah kita bersama-sama menyambut hari lebaran dengan penuh kegembiraan ini sebagai lambang kejayaan umat Islam.

“Marilah juga kita bermaaf-maafan, melupakan sebarang sengketa agar lebaran ini lebih bermakna buat kita semua serta bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan.

“Semoga setiap langkah kita dipenuhi dengan Rahmat dan berkah dari Allah SWT,” kata Presiden UMNO itu menerusi hantaran dalam Facebooknya sempena Hari Raya Aidilfitri yang disambut seluruh umat Islam di Malaysia hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama-sama isteri serta keluarga turut mengucapkan salam Aiditfitri yang mulia dan penuh barakah kepada seluruh masyarakat beragama Islam walau di mana jua anda berada.

Katanya, kehadiran Aidilfitri merupakan nikmat besar dari Allah SWT kerana kita berkesempatan mengerjakan ibadah berpuasa yang dituntut di dalam Islam.

Beliau berkata, Aidilfitri juga merupakan perundangan dan madrasah agar kita sentiasa memperkukuh ukhuwah dan tali persaudaraan sesama muslimin dan muslimat. – Edisi 9

Utamakan keselamatan semasa di laut sempena Aidilfitri

0

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menasihati orang ramai terutamanya komuniti maritim agar sentiasa menitikberatkan soal keselamatan di laut.

Mereka juga digesa untuk sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, langkah itu perlu lebih-lebih lagi seluruh negara bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri dan bercuti panjang dalam fasa peralihan monsun yang bermula pada 29 Mac lalu dan dijangka akan berterusan sehingga Mei nanti.

Beliau mengingatkan kepada mereka yang akan menggunakan perkhidmatan bot atau feri bagi tujuan balik kampung atau melancong ke pulau-pulau supaya memastikan jaket keselamatan disediakan oleh pengendali bot atau feri yang akan dinaiki .

Selain itu, katanya, pastikan tiada lebihan penumpang daripada kapasiti yang ditetapkan bagi mengelak daripada sebarang insiden berlaku ketika berada di laut.

“Berdasarkan rekod tahun 2023, Maritim Malaysia telah mencatatkan sebanyak 1,535 orang terlibat insiden di laut seluruh negara.

“Daripada jumlah berkenaan 1,401 berjaya diselamatkan manakala 90 mangsa lain dilaporkan meninggal dunia dan 44 mangsa lagi masih diklasifikasikan hilang.

“Manakala bermula Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 107 mangsa berjaya diselamatkan, tujuh kematian telah direkodkan dan empat mangsa dikhuatiri masing hilang menjadikan jumlah keseluruhan mangsa insiden di laut adalah seramai 118 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Hamid berkata, bagi mengurangkan kadar kemalangan di laut, pihak Maritim Malaysia akan menggiatkan Preventive SAR (Pencegahan CARILAMAT) dengan membuat rondaan dan pemantauan di jeti-jeti sekitar pantai serta di perairan seluruh negara.

Katanya, ini bagi memberi peringatan serta kesedaran kepada komuniti tentang kepentingan menjaga keselamatan ketika berada di laut.

“Maritim Malaysia turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam yang merayakannya pada tahun ini

“Dengan pesanan supaya memastikan perayaan ini disambut dengan penuh gembira dan bukan tangisan kehilangan ahli keluarga akibat kemalangan yang berlaku di laut,” katanya. – Edisi 9

Pemimpin UMNO, DAP mengadap Agong redakan polemik agama

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap pimpinan kanan parti UMNO dan DAP di Istana Negara, hari ini.

Pemimpin yang hadir mengadap Seri Paduka Baginda ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dalam sesi mengadap itu, Sultan Ibrahim menitah semua pihak memberi tumpuan mengajak rakyat ke arah perpaduan dan bukannya perpecahan.

“Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni,” titah Sultan Ibrahim seperti dimuatkan dalam Facebook Seri Paduka Baginda hari ini.

Baginda berharap pemimpin politik tidak ekstrim dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama dan perkauman, bukan hanya UMNO dan DAP, tetapi juga semua parti.

“Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.

Tegas Baginda, perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia.

“Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu,” titah Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, Dr Akmal menerusi Facebooknya menjunjung titah Seri Paduka Baginda agar menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam agar polemik yang berlaku dapat diredakan.

“Didoakan semoga Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kekuatan dan kesihatan serta terus kekal bersemayam di singgahsana dan dapat memerintah negara dengan penuh kedaulatan dan kebesaran. Daulat Tuanku,” katanya.

Polemik agama membahang selepas isu penjualan stoking tertera kalimah Allah didapati dijual di salah satu premis rangkaian kedai serbaneka KK Mart. – Edisi 9

Teruskan misi bantuan, The Raw edar 3,000 lagi kampit beras

0

MAHU semua rakyat di Malaysia terutamanya golongan yang susah meraikan Aidilfitri dengan penuh gembira, The Raw International Sdn Bhd (The Raw) menyumbangkan 3,000 lagi kampit beras.

Mereka yang layak diberikan sumbangan itu terdiri daripada golongan asnaf dan ibu tunggal.

Pegawai Perhubungan awam, The Raw Nor Amira Amizan berkata, pemilihan sumbangan beras itu adalah untuk meringankan beban golongan yang memerlukan dalam meraikan Aidilfitri tahun ini.

“Kita sedar kos sara hidup semakin meningkat, banyak barang keperluan naik harga termasuklah beras.

“Kita berharap pemberian beras ini dapat memberi golongan kurang berkemampuan beraya dengan gembira walaupun dalam suasana sederhana,” katanya pada majlis Inisiatif Sentuhan Kasih The Raw, semalam.

Majlis penyerahan sumbangan beras kepada golongan memerlukan oleh The Raw semalam.

Hadir sama Pengerusi Gerakwanis, Bibi Sunita Sakandar Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.

Pada majlis sama, Yayasan Prihatin Nasional turut menyumbangkan sebanyak 100 bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan harian dan pakaian hari raya.

Sementara itu, Nor Amira berkata, sejak tahun 2019 The Raw sudah melakukan infak secara kecil-kecilan kepada golongan anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan.

“Melihat sambutan yang menggalakkan terutamanya daripada NGO lain yang sudi bekerjasama, kami terpanggil untuk meneruskannya lagi pada masa akan datang jika mempunyai rezeki lebih.

“Boleh dikatakan tahun ini adalah program khidmat sosial pertama syarikat kami yang dilakukan secara besar-besaran dan Insya-Allah akan kami perluaskan ke kawasan lain pada tahun depan.

“Kami berharap usaha yang dilakukan bersama organisasi lain ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di luar sana,” katanya.

Sebelum ini, Edisi 9 melaporkan, The Raw memberi sumbangan 50 tan beras kepada 10,000 asnaf yang terdiri daripada wanita dan ibu tunggal.

Nor Amira berkata, inisiatif berkenaan diharap dapat meringankan bebanan golongan yang memerlukan terutamanya ibu tunggal untuk menyambut Syawal yang tinggal beberapa hari saja. -Edisi 9

MBM gesa kemelut, isu gusarkan masyarakat diredakan

0

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) menggesa agar beberapa kemelut dan isu yang mendatangkan kegusaran dalam masyarakat yang berlaku kebelakangan ini dapat diredakan.

Setiausaha Agungnya, Hasnul Haniff Harun berkata, setiap masyarakat khususnya golongan belia sepatutnya berperanan positif seperti advokasi aspek kesedaran, kefahaman dalam membawa naratif perpaduan, bukannya menyebarkan adu domba yang berterusan dalam masyarakat.

Beliau berkata, sebagai badan induk pergerakan belia negara ini, MBM berharap golongan belia dapat bersama-sama menyambut Aidilfitri dengan penuh rasa syukur atas segala nikmat yang diberikan selama ini.

“MBM menyeru agar setiap masyarakat terutamanya generasi muda mengambil peluang ini dengan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim.

“Lebih dari itu, Aidilfitri sebenarnya memberi ruang kepada kita untuk lebih kenal mengenali tidak mengira kaum, bangsa dan agama dengan mengenepikan segala perselisihan pendapat, fahaman politik dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Hasnul Haniff berkata, pihaknya juga mengingatkan para pemandu yang pulang berhari raya agar memandu dengan berhati-hati dan berhemah ketika berada di jalan raya memandangkan pertambahan bilangan kenderaan.

“Marilah kita meraikan hari kemenangan ini dengan sifat tawaduk, ukhuwah sesama manusia demi keharmonian dan kesejahteraan yang berterusan,” katanya. – Edisi 9

Tiada tawaran kerja, Farhan pernah jual kopi tepi jalan

0

HAMPIR setahun sepi tanpa sebarang tawaran kerja selepas tersingkir daripada finalis program Hero Remaja 2021, namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat pelakon baharu, Farhan Nordin.

Malah kenangan getir itu kekal terpahat dihati dan menjadi penguat semangat untuk jejaka berusia 26 tahun itu berusia lebih keras lagi.

Berkongsi perkara itu, Farhan berkata, ketika itu negara sedang berada pada fasa penularan virus Covid-19 menyebabkan peluang pekerjaan sangat sukar.

Ia menyebabkan Farhan nekad menjual air kopi di tepi jalan bagi meneruskan kelangsungan hidup di Kuala Lumpur.

“Selepas program Hero Remaja tamat hampir setahun saya menunggu tawaran berlakon dan saya akui kehidupan waktu itu sangat sukar.

“Saya dan beberapa orang rakan menjual air kopi demi mencari rezeki. Tetapi perniagaan hanya sempat berjalan selama tiga bulan sebelum khemah kami diangkut oleh majlis perbandaran,” katanya.

Pengalaman itu tidak mematikan minatnya terhadap dunia lakonan malah anak kelahiran Johor ini berpeluang membintangi drama Cempaka Malaya di RTM pada 2022.

“Saya akui dalam tempoh setahun rasa sangat kecewa dan seperti tiada harapan untuk menjadi pelakon.

“Disebabkan minat yang begitu mendalam, apa juga kerja yang saya lakukan, lakonan tetap di hati,” katanya.

Demi meneruskan kelangsungan hidup Farhan kini bekerja sebagai pramugara Air Asia dan dalam masa masih meneruskan impiannya sebagai pelakon.

“Alhamdulillah, berkat usaha rezeki tidak pernah salah alamat. Saya bersyukur bermula awal tahun ini tawaran berlakon sudah mula ada dan saya pun memang serius mahu berlakon.

“Saya berlakon bukan untuk glamor kerana kerja sebagai pelakon bukan mudah dan memenatkan. Atas sebab minat yang begitu mendalam penat itu tidak terasa,” katanya.

Pemegang ijazah sarjana muda TESL pengkhususan dalam pendidikan dari Management and Science University (MSU) itu bakal muncul dengan telefilem raya berjudul Kurung Kerawang Untuk Adik yang akan disiarkan pada raya ketiga di Astro Ria.

Menerusi telefilem itu, Farhan yang juga bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) bergandingan dengan pelakon Syafie Naswip, Noorkhiriah, Hariz Hamdan dan Idzham Ismail.

“Saya sangat teruja apabila dapat berlakon bersama-sama pelakon berkaliber.

“Walaupun pelakon seperti Syafie Naswip, Noorkhiriah dan Hariz lebih banyak pengalaman daripada saya, mereka tidak lokek berkongsi ilmu lakonan.

“Disebabkan berlakon dalam drama ini adrenalin untuk aktif semula dalam dunia lakonan membuak-buak,” kata Farhan yang turut aktif dalam sukan bola sepak.

Selain lakonan, Farhan yang juga aktif sebagai model bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan Mr. Celebrity yang akan berlangsung di Vietnam pada September depan.

Katanya, dia mula menyertai pertandingan sebagai model bermula pada 2019 menerusi Mister Global seterusnya Hero Remaja dan Mr. Celebrity pada tahun lalu.

“Walaupun saya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Mr. Celebrity, tetapi penganjur memutuskan untuk saya mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat dunia berentap dengan 36 buah negara di Vietnam,” katanya.

Farhan berkata, walaupun pertandingan yang disertainya ala ‘ratu cantik’ tetapi pertandingan itu banyak memberi manfaat kepada dirinya.

“Jujur, menerusi pertandingan seperti ini saya belajar cara berkomunikasi, berjalan di pentas peragaan dan bagaimana membawa diri di tempat yang asing.

“Semua ilmu ini saya gunakan ketika bekerja sebagai pramugara dan juga pelakon. Selain itu, pertandingan ini juga meluaskan lagi ‘networking’ dalam industri fesyen dan juga seni.

“Apapun saya cuba yang terbaik dalam semua pekerjaan yang dilakukan kerana impian saya adalah menjadi seorang anak seni yang versatil,” katanya lagi. -Edisi 9

Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak hina Islam – Na’im

0

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menghina agama Islan.

Beliau berkata, itu sesuai dengan komitmen utama jabatan tersebut untuk menjaga kesucian agama Islam dan maslahah umat Islam.

Pada masa yang samq, beliau menasihatkan semua pihak untuk sentiasa bertenang serta tidak mengambil apa-apa langkah melulu yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Katanya, semua tindakan adalah perlu berasaskan kepada fakta dan bukti kukuh.

“Adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk menjaga akhlak dan tingkah laku agar keharmonian dan perpaduan dalam negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pertemuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan pihak syarikat Vern’s Holdings Sdn Bhd berhubung isu logo mirip kalimah Allah pada tapak kasut keluaran syarikat itu hari ini.

Mengulas perkara itu, Mohd Na’im berkata, pertemuan antara Jakim dan Pengasas yang juga Pengarah Urusan Vern’s Holding, Datuk Seri Ng Chuan Hoo berlangsung pagi ini dan pihaknya menyerahkan proses selanjutnya keada siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, Jakim telah diarah untuk memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam melengkapkan siasatan.

“Sekiranya terdapat elemen yang bertentangan dengan undang-undang, maka proses selanjutnya akan diambil oleh pihak PDRM,” kata beliau.

Pada masa sama, Mohd Na’im mengajak semua pihak mengambil pengajaran daripada situasi ini agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Dalam masa terdekat, katanya, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama pihak jabatan agama Islam negeri-negeri serta pihak berkuasa.

Ini antaranya PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan lain-lain pihak berkaitan bagi menyelaras tindakan bersepadu untuk menangani isu ini. – Edisi 9

Pusat salur RM230 juta wang ihsan untuk Terengganu, Kelantan

0

KERAJAAN Pusat telah menyalurkan wang ihsan lebih RM230 juta kepada kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan minggu lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penyaluran wang tersebut bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri.

Menurut Anwar, daripada jumlah itu sebanyak RM172.3 juta diberikan kepada kerajaan Terengganu manakala RM58.6 juta diserahkan kepada kerajaan Kelantan.

Beliau berkata, kerajaan Pusat juga membayar sebanyak RM103.1 juta untuk obligasi kerajaan Terengganu kepada kontraktornya.

“Sebarang baki wang ihsan akan tetap digunakan untuk negeri Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri.

Katanya, ini dicerminkan melalui peningkatan pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri serta peruntukan pembangunan untuk semua negeri bagi tahun 2023 dan 2024.

Kata beliau, pemberian negeri disalurkan kepada semua negeri secara serentak tiap-tiap bulan.

“Kerajaan Madani komited memastikan bahawa wang ihsan dikhususkan untuk manfaat negeri Terengganu dan Kelantan, dengan keutamaan kepada perbelanjaan yang benar-benar membantu rakyat Terengganu dan Kelantan.

“Kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan serta cadangan dari Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan berhubung penggunaan wang ihsan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat Terengganu dan Kelantan,” kata beliau.

Anwar menjelaskan, pemberian wang ihsan bukanlah merupakan pemberian Kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam undang-undang.

“Namun Kerajaan Madani tetap menyalurkan wang ihsan petroleum sebanyak RM786 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 2023,” katanya. – Edisi 9

Stok fizikal beras negara cukup untuk tempoh 5.48 bulan – KPKM

0

BEKALAN beras sebagai makanan ruji negara di pasaran mencukupi untuk keperluan rakyat untuk tempoh 5.48 bulan, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini.

Menurut kementerian itu, stok fizikal beras negara sehingga kini ialah sebanyak 1,096,964 tan metrik termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal.

“Tambahan pula, jumlah stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk adalah antara yang tertinggi dan terjamin di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPKM berkata, pada masa ini, pengedaran stok beras putih tempatan (BPT) sedang giat dijalankan dan penurunan harga beras putih import (BPI) di antara RM2.00 hingga RM3.00 turut dilaksanakan.

Katanya, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin peningkatan pengeluaran beras tempatan khususnya melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi.

Antara yang dirangka adalah peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan, program penanaman padi 5 musim untuk 2 tahun dan inisiatif memperkukuh infrastruktur pengairan sawah.

“KPKM juga menggalakkan penanaman dan pengambilan hasil tanaman-tanaman lain yang bernutrisi dan sihat oleh rakyat selain daripada makanan ruji negara,” katanya.

Perkara ini, jelasnya, adalah antara penekanan utama KPKM dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan negara selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030. – Edisi 9

Suspek tembak anggota Maritim Malaysia dikehendaki ESSCOM

TIGA suspek kejadian tembakan di perairan Kunak yang mengakibatkan dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cedera dipercayai dari kumpulan yang berada dalam senarai dikehendaki pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihaknya juga percaya kesemua suspek merupakan individu yang terlibat dalam siri rompakan di laut serta berkemungkinan mempunyai jaringan dengan beberapa kumpulan jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata, salah seorang suspek telah dikenal pasti dan kesemua mereka dipercayai bukan warga tempatan.

“Berdasarkan maklumat berkenaan, Maritim Malaysia telah mengatur gerakkan Pasukan Tindakan Khas & Penyelamat (STAR Team), pasukan pesawat udara Maritim Malaysia, pasukan Perisikan Maritim serta dibantu pasukan ESSCOM bagi mengesan dan memburu kesemua suspek tersebut,” katanya di Tawau hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, sebuah bot enjin sangkut berwarna biru, yang dinaiki suspek telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 milik Maritim Malaysia ketika anggota bot cuba mendekati bot suspek untuk pemeriksaan rutin Operasi Khas Pagar Laut.

Berikutan itu, anggota penguat kuasa Bot Banggi 48 yang terdiri seramai enam orang anggota membalas tembakan dan dua daripada anggota berkenaan cedera manakala penjenayah terbabit berjaya melarikan diri.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia turut menasihatkan kepada orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu.

“Ini kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Hamid berkata, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel yang cedera di mata kiri akibat terkena tembakan hilang penglihatan sebelah mata.

Beliau berkata, ini kerana peluru tersebut terkena pada bahagian saraf mata dan tidak dapat diselamatkan.

“Alhamdulillah sebelah kanannya itu elok, insya-Allah ini menjadi satu insiden yang amat sensitif bagi kita,” katanya.

Beliau mengesahkan seorang lagi anggota yang cedera di kedua-dua belah tangannya, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin berada dalam keadaan stabil. – Edisi 9