Thursday, June 4, 2026

Kerajaan hargai peranan media bangun negara – Zahid

Mesti Baca

KERAJAAN menghargai peranan dan sumbangan pengamal media dalam membantu pembangunan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peranan serta sumbangan golongan itu turut memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Saya amat hargai peranan wartawan sama ada media konvensional, media perdana mahupun media sosial,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 hari ini.

Pada majlis tersebut, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyumbang tajaan bernilai RM50,000 untuk penganjuran Hawana 2023 bertemakan ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 29 Mei ini di Ipoh, Perak.

Replika cek sumbangan itu disampaikan Ahmad Zahid kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin, disaksikan Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama, D. Arul Rajoo.

Sementara itu, Roslan berkata sebagai agensi pelaksana Hawana 2023, Bernama amat menghargai setiap tajaan yang diterima daripada pelbagai agensi dan mengalu-alukan lebih banyak pihak tampil menyumbang bagi menjayakannya.

“Setakat hari ini kita telah terima tajaan daripada 20 penaja dalam bentuk kewangan dan barangan.

“Tajaan ini amat bermakna kerana sebahagian daripadanya akan disalurkan dalam Tabung Kasih@Hawana untuk bantu wartawan dan bekas wartawan yang memerlukan,” katanya. – BERNAMA

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan