32.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Kerjasama 19 parti perkukuhkan BN-PH hadapi PRN

Mesti Baca

KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan selesai berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur iaitu gelanggang keramat bagi UMNO.

Di dewan itulah yang setiap tahun lebih 3,000 perwakilan UMNO berhimpun dan membahaskan isu-isu berkaitan kepentingan parti, orang Melayu dan negara tercinta. Kerana itu ia ada nilai ‘keramatnya’.

Di situlah kita menyaksikan berapa ramai pemimpin Melayu menitis air mata tangisan, menghunus keris penuh semangat dan melaungkan kata-kata semangat perjuangan bangsa.

Tentunya ramai masih ingat bagaimana dua parti Melayu dan Islam terbesar – UMNO dan Pas berhimpun, berpeluh penuh hiba, tangisan dan air mata ketika Muafakat Nasional ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Almaklum berpuluh tahun kedua-dua parti itu berseteru akhirnya hubungan mereka bertaut kembali lantara kedua-dua tewas dalam PRU-14, khususnya bagi UMNO yang buat pertama kali melaluinya.

konvensyen nasional kerajaan perpaduan
Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi bersama para pemimpin parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan. – Foto: Edisi 9

Semalam, sekali lagi Dewan Merdeka menjadi saksi satu lagi sejarah politik tanah air apabila 19 parti yang bergabung di bawah lima gabungan parti-parti politik menanam iltizam untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara.

Ini kerana selepas PRU-15 November lalu menyaksikan tiada parti yang dapat membentuk kerajaan secara bersendirian sehinggalah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong agar satu kerajaan perpaduan dibentuk antara parti-parti politik yang memenangi PRU itu.

Dalam konvensyen tersebut, sayap golongan wanita, pemuda dan pemudi parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan melahirkan tekad masing-masing yang secara asasnya adalah kesediaan mereka untuk saling bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negara.

Malahan mereka yang hadir juga jelas penuh ceria, terbuka dan tidak kelihatan sekelumit dendam di antara satu sama lain, biarpun parti-parti berkenaan berbeza dari segi ideologi, perjuangan dan matlamat penubuhan.

Parti-parti itu juga mewakili hampir seluruh agama, suku kaum dan pemikiran yang dikesampingkan demi memenuhi matlamat yang ditetapkan – kestabilan negara dan kemakmuran rakyat.

Advertisements

Walaupun ramai memandang sinis kerjasama antara parti-parti berkenaan terutama apabila UMNO buat pertama kali bergandingan bersama DAP di bawah satu kerajaan.

Bagaimanapun ramai yang tidak melihat sisi positif daripada kerjasama tersebut, terutama bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam mengharungi enam pilihan raya negeri dalam tempoh kurang tiga bulan lagi.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di WTC Kuala Lumpur. – Foto: Edisi 9

Pembentukan kerjasama terutama dengan PH bakal memberi impak sangat besar bagi BN bagi mengharungi PRN terutama bagi negeri-negeri di sebelah Pantai Barat Semenanjung – Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ini kerana umum diketahui PH mempunyai kekuatan di Pulau Pinang dan Selangor manakala di Negeri Sembilan hampir seimbang apabila BN menguasai kerusi di bahagian ‘darat’ manakala PH di sebelah pantai.

Lalu, dalam PRN nanti gabungan kekuatan PH dan BN sudah pasti memberi kelebihan untuk parti-parti tersebut membentuk kerajaan di negeri-negeri berkenaan setelah BN kini menguasai tiga negeri di Semenanjung selepas PRN Melaka, Johor dan PRU-15.

Manakala PH pula kini kuat di Selangor dan Pulau Pinang manakala di Perak sudah membentuk Kerajaan Perpaduan gabungan BN-PH.

Biarpun banyak pihak melihat UMNO/BN sukar menang dalam PRN di Kedah, Kelantan dan Terengganu sementelah PH juga tidak begitu kuat sokongan terutama di Pantai Timur, namun dalam politik tiada yang mustahil.

Melihat sentimen dan pola pengundi di Terengganu, BN-PH mampu membuat kejutan dengan merampas negeri itu daripada Perikatan Nasional (PN) yang kini didominasi oleh Pas.

Kesimpulannya, BN-PH mampu menguasai sekurang-kurangnya empat daripada enam negeri dalam PRN akan datang jika sekiranya setiap pemimpin dan penyokong parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan saling bekerjasama dengan ikhlas, jujur dan tidak haloba.

Ingatlah, UMNO dan BN telah mengorbankan maruahnya demi kestabilan negara dan kemakmuran rakyat. Justeru, jangan dipersia-siakan terutama oleh rakan-rakan sekutunya yang baharu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Ramasamy, Fadhil amal kempen menyesatkan – Puad Zarkashi

PRESIDEN Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy dan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhil Shaari dianggap mengamalkan kempen...

Lagi Artikel Berkaitan