SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita dua akaun Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) selepas membekukannya pada Januari lalu.
SPRM menerusi kenyataan berkata, tindakan sitaan itu telah dibuat pada 11 April lalu berhubung siasatan dan pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
“Sebelum ini, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.
“Susulan itu, SPRM telah melaksanakan tindakan sitaan pada 11 April lalu berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” katanya.
Kenyataan tersebut merujuk kepada laporan sebuah akhbar bertajuk Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days yang disiarkan semalam. – Edisi 9

