SEORANG anggota polis dan jururawat maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung antara satu sama lain dalam kemalangan di Jalan Tun Sardon, di Balik Pulau, Pulau Pinang, hari ini.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu, motosikal ditunggang Koperal Muhammad Zohair Dzulkefle, 44, dalam perjalanan dari arah Relau menuju Balik Pulau, manakala motosikal ditunggang Norsyazwani Roslan, 30, datang dari arah bertentang.
Akibat pertembungan itu, Muhammad Zohair yang bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara Norsyazwani yang bertugas di Hospital Bertam turut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Balik Pulau bagi mendapat rawatan lanjut, sebelum disahkan meninggal dunia jam 10 pagi tadi.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi, mengesahkan kejadian kemalangan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan timbalannya, Tan Sri Razarudin Husain serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Muhamad Zohair.
“Allahyarham bertugas di Cawangan Pengangkutan, Jabatan Logistik dan Teknologi, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dan telah berkhidmat dengan pasukan selama hampir 21 tahun.
“Didoakan agar roh Allahyarham Koperal Sokongan Muhamad Zohair dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh,” katanya menerusi Facebook PDRM hari ini.
-EDISI9

