Wednesday, July 22, 2026

Tiada yuran dikenakan kepada peguam syarie tahun ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIADA yuran atau caj dikenakan terhadap peguam syarie di Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta Profesion Guaman Syarie 2019 (Akta 814) bagi tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira kebajikan peguam syarie khususnya dalam era pasca pandemik selain melihat profesion guaman syarie ini masih lagi belum pulih sepenuhnya.

Menurut beliau, keputusan itu juga dibuat selepas mendapat maklum balas dan pandangan daripada Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Peguam Negara.

“Oleh itu, saya berpandangan bahawa perlunya kajian lanjut dilaksanakan oleh pihak-pihak berkaitan sebelum apa-apa ketetapan berhubung dengan pengenaan fi boleh dibuat.

“Perkara ini penting supaya sebarang keputusan berhubung dengan penetapan fi dapat dibuat dengan adil serta bebanan kepada mana-mana pihak dapat dielakkan,” katanya dalam sattu kenyataan hari ini.

Ujar Mohd Na’im lagi, terdapat permohonan daripada Peguam Syarie untuk mendapatkan Perakuan Amalan Tahunan di bawah seksyen 29 Akta 814 yang memperuntukkan bahawa permohonan hendaklah disertakan dengan fi yang ditetapkan.

“Memandangkan kajian lanjut masih sedang dilaksanakan dan fi masih belum ditetapkan, dengan itu saya berhasrat untuk tidak menetapkan fi di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 bagi tahun ini. 

“Bagi tahun 2024 dan seterusnya, perkara ini akan ditentukan setelah kajian lanjut tersebut dibuat serta perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan diadakan,” katanya.

Mohd Na’im berkata, Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 [Akta 814] telah mula berkuat kuasa pada 21 Jun tahun lalu.

Menurut beliau, berikutan dengan pelaksanaan Akta 814, beberapa fi dan caj boleh dikenakan ke atas anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPS) iaitu yuran tahunan dan levi di bawah seksyen 47 Akta 814 yang kena dibayar kepada Badan Peguam Syarie dan beberapa fi lain di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814 yang kena dibayar kepada Ketua Pendaftar.

“Berhubung dengan fi yang kena dibayar di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta 814, peruntukan ini memberikan kuasa kepada saya selaku Menteri untuk menetapkan fi-fi yang berkenaan melalui kaedah-kaedah,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan