25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Polis buru suspek utama kebakaran gudang pakaian

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS memburu seorang lelaki dipercayai suspek utama dalam kes khianat dengan api membabitkan dua kebakaran di gudang pakaian di Jalan 2/17 Mutiara Fadason, Kuala Lumpur baru-baru ini yang membabitkan kerugian lebih RM1 juta.

Suspek utama berkenaan, G Logeswaran, 41, yang beralamat di M2-3-14 Jalan Pandan Indah 6/1, Pandan Indah, Kuala Lumpur dipercayai dapat membantu untuk menyelesaikan siasatan kes itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, polis menerima laporan kejadian pertama kebakaran gudang pakaian daripada pengurusnya yang berusia 31 tahun pada pukul 4.08 pagi, 6 Januari lalu.

“Kebakaran itu berjaya dipadamkan yang mana ia hanya meliputi kawasan bahagian hadapan gudang saja.

“Semakan kamera litar tertutup di kawasan itu mendapati kebakaran bermula jam 3.06 pagi di mana terdapat kelibat suspek memanjat tembok dan membaling sesuatu ke arah gudang dan selepas itu nampak nyalaan api.

Sebuah gudang pakaian di Mutiara Fadason, Kepong, Kuala Lumpur hangus terbakar dalam kejadian yang dipercayai perbuatan khianat. – Sumber: PDRM

“Kerugian dianggarkan sebanyak RM4,000 yang membabitkan kerosakan peti ais, sofa serta peti suis elektrik yang berada di bahagian luar gudang. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan (KK),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar Eng Lai, pada 11 Januari kira-kira pukul 4.30 pagi, polis menerima satu lagi laporan mengenai kejadian kebakaran membabitkan gudang yang sama.

Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku di bahagian belakang dalam gudang berkenaan.

“Selepas kebakaran berjaya dipadam oleh bomba, pengadu mendapati stok baju Melayu dan lain-lain barang tidak pasti sudah terbakar.

“Anggaran jumlah stok baju Melayu yang terbakar adalah sebanyak 14,400 helai. Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM1.5 juta. Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 436 KK,” katanya.

Eng Lai berkata, berdasarkan hasil risikan yang dijalankan, sebanyak enam serbuan dibuat di beberapa lokasi yang berbeza di sekitar Selangor.

Advertisements

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul itu dilakukan 11 malam 15 Januari sehingga kira-kira pukul 4.30 pagi 18 Januari lalu.

“Hasil serbuan, polis berjaya menahan sembilan suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes itu.

“Turut dirampas ketika tangkapan adalah sebuah motosikal dan pakaian yang dipercayai dipakai suspek serta satu tong minyak berisi petrol yang digunakan untuk membakar gudang itu.

“Kesemua orang kena tuduh (OKT) direman sehingga 26/01/2023 (semalam). Pihak polis juga mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati lima suspek positif dadah dan empat suspek lagi negatif,” katanya.

Beliau berkata, semalam atas arahan Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur, dua suspek dituduh bagi kejadian pertama manakala tiga suspek lagi dituduh bagi kejadian kedua mengikut Seksyen 435 KK.

Menurutnya, suspek yang lain dijadikan saksi pendakwaan.

“Kesemua suspek yang dituduh tidak mengaku salah dan ditawarkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Mac depan.

“Motif kejadian setakat ini mendapati suspek diupah untuk membakar gudang yang berkenaan. Semua suspek yang dituduh dipercayai adalah orang upahan untuk melakukan pembakaran gudang itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan individu itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Jamaluddin di talian 017-7331772 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan