26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Mangsa banjir geram, sukarelawan datang hanya untuk ‘posing’

Mesti Baca

“GERAM saya bang, boleh mereka datang satu van (dengan logo dan nama sebuah kementerian) kat rumah jiran sebelah yang tuan rumah dah bersihkan entah berapa jam.

“Mereka datang minta izin nak ambil gambar, konon mereka sudah siap buat kerja bantu bersihkan rumah mangsa banjir.

“Yang pelik mereka tak ada pula nak bantu kami semua perempuan yang tengah berpeluh bersihkan rumah ni.”

Demikian keluhan seorang mangsa banjir di Dengkil, Selangor berhubung satu kejadian ‘pelik’ yang berlaku di depan matanya tempoh hari.

Gadis tersebut yang enggan namanya disiarkan berkata, pada mulanya mereka menyangka rombongan tersebut mahu menghulurkan sumbangan kepada jiran yang juga menjadi mangsa banjir.

Namun katanya, dia terkejut apabila mendengar rombongan tersebut yang terdiri daripada beberapa lelaki dan wanita meminta izin daripada jiran untuk bergambar di rumah jiran yang sudah bersih.

Katanya, walaupun beberapa kali jirannya itu menolak namun rombongan sukarelawan tersebut tetap mendesak untuk bergambar dan acah-acah membersihkan rumah tersebut.

“Selepas bergambar mereka berlalu dengan wajah gembira. Kami yang berada di sebelah rumah tersebut sungguh rasa nak marah. Sepatutnya kalau ikhlas nak bantu, bantulah kami yang masih bertungkus-lumus bersihkan rumah.

Advertisements

“Bukannya ke rumah yang sudah bersih, datang ‘posing’ dan balik begitu saja,” katanya kepada Edisi 9.

Sementara itu, menceritakan detik cemas apabila kawasan rumahnya mula dinaiki air sekitar 12 tengah malam pada malam Jumaat 17 Disember lalu, pelajar sebuah universiti swasta di Cyberjaya itu berkata, dia tidak menyangka air naik begitu cepat.

Dalam keadaan kelam-kabut kerana dia bersendirian di rumah yang disewa bersama adik lelakinya, gadis itu menelefon rakannya yang berada di Cyberjaya untuk membantunya.

“Kawan saya meredah banjir pukul 4 pagi untuk mengeluarkan saya dari rumah yang sudah dinaiki air separas dada.

“Mujur saya sempat menyelamatkan beberapa peralatan penting ke tingkat atas kalau tidak saya tidak tahu berapa banyak lagi barang yang rosak,” katanya yang tinggal di rumah teres sebuah taman perumahan itu.

Pelajar tahun akhir itu berkata, inilah kali pertama dia mengalami pengalaman berhadapa dengan banjir namun katanya, sikap sesetengah sukarelawan yang tidak ikhlas membantu mangsa cukup membuat dia kesal.

“Saya harap janganlah perlakukan mangsa seperti ini. Kalau nak bantu kami, bantulah betul-betul bukannya mempergunakan kami yang dalam kesusahan ini untuk kepentingan diri,” katanya – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan