KES baharu penularan COVID-19 di negara ini meningkat sedikit namun masih di paras bawah 5,000 iaitu 4,879 kes dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan 2,632,782 individu dijangkiti virus berkenaan, setakat ini.
Menurut beliau, daripada jumlah kes harian tersebut, sebanyak 24 kes adalah kes import melibatkan 16 warganegara dan lapan bukan warganegara.
“Penularan tempatan merekodkan sebanyak 4,855 kes dengan 4,678 daripadanya adalah warganegara (96.4 peratus) dan 177 bukan warganegara (3.6 peratus).
“Terdapat 79 kes dilaporkan (1.6 peratus) adalah daripada kategori 3, 4, dan 5; manakala sebanyak 4,800 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh pula merekodkan sebanyak 5,168 kes sekaligus menjadikan 2,537,204 kes kumulatif, 96.4 peratus.
“Terdapat 509 kes dilaporkan memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 394 kes disahkan COVID-19 ; 115 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.
“Kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 252 kes (172 kes disahkan COVID-19 ; 80 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan),” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak sembilan kluster lagi di laporkan hari ini menjadikan kluster aktif kini mencecah 231 kluster. – Edisi 9