26.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

KDNK meningkat, trend pemulihan ekonomi berterusan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan telah mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 16.1 peratus tahun-ke-tahun pada suku kedua 2021 (S2 2021).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan KDNK itu menunjukkan trend pemulihan yang berterusan berikutan penguncupan yang lebih kecil pada kadar 0.5 peratus bagi suku sebelumnya (S1 2021), dan berbanding kemerosotan 3.4 peratus pada suku keempat 2020 (S4 2020).

Menurut beliau, dari segi enam bulan pertama tahun ini, KDNK meningkat sebanyak 7.1 peratus, berbanding penurunan 8.4 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.

“Dari segi prestasi KDNK bulanan, pertumbuhan pada bulan April dan Mei 2021 menunjukkan trend pemulihan yang kukuh dengan masing-masing menunjukkan peningkatan 40.1 peratus dan 19.8 peratus.

“Pertumbuhan ini disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada bulan-bulan yang sama pada tahun 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tengku Zafrul memberitahu, selain peningkatan KDNK, pertumbuhan juga telah disokong oleh pelaksanaan pakej bantuan dan rangsangan sepanjang tempoh tersebut, iaitu PERMAI, PEMERKASA dan PEMERKASA Tambahan bernilai RM75 bilion, dan dilengkapi oleh langkah-langkah Belanjawan 2021 yang masih berlangsung.

Beliau menambah, pertumbuhan KDNK pada Jun mencatat penguncupan 4.4 peratus disebabkan oleh kesan PKP 3.0 pada pertengahan Mei, dan juga Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai awal Jun.

“Namun, jika dibandingkan dengan PKP 1.0 tahun lalu, penurunan pada Jun 2021 adalah lebih kecil berbanding April 2020 (-28.8 peratus),” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, walaupun terdapat beberapa halangan berikutan peningkatan semula kes COVID-19 menjelang akhir suku kedua, indikator ekonomi utama telah menunjukkan tanda pemulihan yang menggalakkan.

“Ini termasuklah peningkatan 1.4 peratus bagi Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada bulan Jun 2021, melangkaui jangkaan didorong oleh, antara lainnya, pertumbuhan 8.7 peratus di dalam industri berorientasi eksport.

“Peningkatan 6.5 peratus bagi nilai jualan sektor pembuatan bagi bulan Jun 2021 kepada RM124.4 bilion disokong oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik (41.6 peratus); produk makanan, minuman dan tembakau (9.0 peratus); dan produk elektrik dan elektronik (2.2 peratus).

“Peningkatan sebanyak 20.5 peratus bagi pendapatan sektor perkhidmatan, kepada RM404.5 bilion pada S2 2021, di mana setiap segmen dalam sektor tersebut menunjukkan tanda pemulihan. Pendapatan e-dagang meningkat 23.3 peratus kepada RM267.6 bilion berikutan urus niaga e-dagang daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan yang meningkat.

“Momentum pemulihan yang berterusan bagi eksport dicatat pada Jun 2021, dengan peningkatan 27.2 peratus kepada RM105.5 bilion. Ini juga merupakan kali ketiga nilai eksport melebihi RM100 bilion tahun ini, dan peningkatan tahunan selama 10 bulan berturut-turut direkodkan sejak September 2020. Secara keseluruhan, jumlah perdagangan pada Jun 2021 meningkat 29.3 peratus kepada RM188.7 bilion. Bagi tempoh separuh pertama 2021, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 26.0 peratus, melepasi RM1 trilion. Ini disumbang oleh pengembangan eksport dan import bagi semua pasaran utama.

“Pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan pada S2 2021 menunjukkan Malaysia kekal sebagai salah satu destinasi utama pelaburan di rantau ini. Dalam tempoh tersebut, sejumlah RM8.2 bilion FDI bersih dicatatkan (S1 2021: RM9.1 bilion). Pelaburan disalurkan terutamanya kepada sektor pembuatan, aktiviti kewangan dan insurans/takaful, serta sektor perlombongan dan pengkuarian khususnya dari Jepun, Indonesia dan Amerika Syarikat,” jelasnya.

Menurut beliau, dari sudut pasaran kewangan, tahap nisbah liputan kecairan yang sihat dalam sistem perbankan yang mencapai 149.1 peratus pada bulan Jun 2021.

“Profil pendanaan bank kekal stabil di samping pertumbuhan deposit yang berterusan. Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing kekal pada 1.6 peratus dan 1.0 peratus.

“Rizab antarabangsa BNM kekal tinggi dengan nilai AS$111.1 bilion pada akhir Julai 2021, memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh, dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

“Pembiayaan bersih ke sektor swasta mencatat pertumbuhan tahunan 4.4 peratus pada S2 2021 (S1 2021: 4.7 peratus), disokong oleh kenaikan pinjaman modal kerja. Bagi pinjaman isi rumah, permintaan kekal menggalakkan, terutamanya bagi pembelian harta tanah kediaman,” katanya.

Tengku Zafrul menambah, dari sudut pasaran modal, FBMKLCI meningkat sebanyak 2.1 peratus dalam tempoh S2 2021, disokong oleh penyertaan daripada pelabur runcit, dengan jumlah pelaburan bersih sebanyak RM9.4 bilion sehingga kini.

“Penyertaan yang lebih tinggi daripada pelabur runcit dalam industri pengurusan dana terus direkodkan dengan Nilai Aset Bersih (NAV) segmen unit amanah meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM531.8 bilion pada akhir Jun 2021. Ini menyumbang 30.5 peratus kepada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia.

“Pelabur asing kekal yakin terhadap pasaran bon Ringgit. Dalam tempoh separuh pertama 2021, sejumlah RM24.5 bilion aliran masuk bersih telah direkodkan, di mana kira-kira 60 peratus merupakan langganan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Sementara itu, pegangan asing dalam bon kerajaan Malaysia meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh lima tahun kepada RM223 bilion, atau 25.1 peratus daripada jumlah terkumpul. Ini merangkumi RM192.1 bilion dalam bentuk MGS dan RM30.8 bilion dalam bentuk Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

“Secara keseluruhan, keyakinan pelabur kekal kukuh, dipacu oleh pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia oleh tiga agensi penarafan kredit global utama iaitu S&P, Moody’s dan Fitch,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur berikutan kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan kejayaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN bagi setiap negeri.

Menurut beliau, keadaan ini seterusnya akan membolehkan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih luas. Setakat ini, enam negeri telah beralih ke Fasa 2 dan dua negeri termasuk Labuan telah berjaya beralih ke Fasa 3.

Advertisements

“Tambahan pula, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar vaksinasi terpantas di dunia dalam melaksanakan program vaksinasi, dengan suntikan lebih dari 500,000 dos sehari.

“Setakat ini, lebih 70 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima satu dos vaksin. Pada kadar ini, 80 peratus populasi dewasa di Lembah Klang, dan 50 peratus populasi dewasa Malaysia dijangka lengkap divaksin menjelang akhir Ogos,” katanya.

Tengku Zafrul memberitahu, dalam memperkukuh prospek pertumbuhan, kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan bernilai RM530 bilion, dilengkapi oleh Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion.

Beliau menambah, melalui pakej-pakej ini, lebih daripada RM300 bilion masih tersedia untuk tahun ini, dan dijangka akan menyokong pemulihan ekonomi sepanjang pelbagai fasa PPN.

“Setakat ini, lebih daripada RM200 bilion daripada pakej rangsangan ekonomi dan bantuan telah disalurkan dan memanfaatkan lebih daripada 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac 2020,” ujarnya.

Kata Tengku Zafrul, faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi Malaysia termasuk peningkatan permintaan luar daripada rakan dagangan utama, pemulihan harga komoditi, serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi.

Menurut beliau, faktor-faktor ini akan mendukung asas ekonomi negara yang kekal berdaya tahan walaupun dalam tempoh yang mencabar, disokong oleh kecanggihan, kedalaman dan kepelbagaian ekonomi negara di mana sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang lebih daripada 80 peratus kepada ekonomi.

“Sektor pembuatan dan eksport dijangka menerima manfaat daripada permintaan global bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), hidrokarbon seperti minyak mentah dan gas asli serta peralatan pelindungan diri.

“Secara keseluruhan, KDNK 2021 dijangka meningkat antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus seperti yang diumumkan oleh BNM pada hari ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, kerajaan sentiasa berwaspada dengan pertumbuhan negara yang masih berdepan dengan risiko dan ketidaktentuan ekonomi domestik dan global.

Beliau menambah, ini termasuk penularan varian baharu COVID-19 yang boleh mengakibatkan pelanjutan sekatan pergerakan sedia ada dan menangguhkan aktiviti ekonomi untuk kembali normal, serta gangguan bekalan vaksin COVID-19 yang akan menjejaskan usaha untuk mencapai imuniti kelompok.

“Kerajaan menjangkakan prospek yang lebih mencabar bagi suku ketiga 2021 (S3 2021) berikutan pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di sebahagian besar kawasan di Lembah Klang pada bulan Julai, serta Fasa 1 PPN yang berpanjangan di beberapa negeri yang menjadi penyumbang utama kepada KDNK negara.

“Walau bagaimanapun, prospek ini akan diimbangi oleh pelonggaran sekatan kepada penerima vaksin lengkap, dan negeri yang telah berjaya beralih ke Fasa 2 dan Fasa 3.

“Prospek untuk suku keempat (S4 2021) dijangka bertambah baik, disokong oleh pemulihan beransur-ansur berikutan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan sosial apabila lebih ramai rakyat telah divaksin.

“Vaksinasi lengkap juga akan mengurangkan beban sistem kesihatan dengan kemasukan ke hospital dan ICU yang lebih rendah,” jelasnya.

Tengku Zafrul berkata, buat masa ini, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memperkukuh strategi negara untuk beralih ke fasa Penyusunan Semula, atau ‘Reform’.

Menurut beliau, ini termasuk pendekatan baharu yang digunapakai Kementerian Kewangan dalam menambah baik proses bajet tahunan negara agar lebih telus dan terangkum.

“Kementerian akan mengeluarkan, antara lain, Kenyataan Pra-Bajet yang menetapkan tema dan bidang fokus Bajet 2022 untuk mendorong pemulihan ekonomi, membangun semula daya tahan negara dan memangkin pembaharuan struktur,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, melangkah ke hadapan, dengan pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), pendigitalan dan penggunaan teknologi akan menjadi keutamaan untuk meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Selain itu, katanya, dasar ini juga adalah seiring dengan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam jangka masa sederhana termasuk melalui pelaksanaan kerangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), dan juga inisiatif PERKUKUH Pelaburan Rakyat.

“Selain itu, Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021 – 2025) akan menyediakan rangka tindakan untuk pertumbuhan lestari, yang bertujuan untuk memperkukuhkan keterangkuman sosio-ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Kesemua dasar-dasar tersebut juga adalah selari dengan dasar pembangunan jangka panjang negara, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” jelasnya.

Kesimpulannya, kata Tengku Zafrul, keutamaan semasa kerajaan adalah untuk melindungi nyawa daripada ancaman COVID-19, dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang, didorong oleh PPN dan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah.

“Kerajaan akan terus mengambil langkah strategik, proaktif dan tegas dalam mendepani situasi COVID-19 yang mencabar serta meminimumkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan