24.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Polis tak terima surat MITI sehingga 21 Julai – KPN

Mesti Baca

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari, kebelakangan ini.

“Semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan, dan tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah.

“Ini bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab, daripada menyalahgunakan surat kebenaran MITI sebagai kelulusan merentas negeri, untuk sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun, Acryl Sani berkata larangan tersebut tidak terpakai bagi urusan kecemasan dengan kebenaran polis, serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

Advertisements

Jelasnya lagi, mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini, akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi dan masyarakat turut dinasihatkan untuk bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19.

Sebelum itu, Bernama melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, Selasa ini.

Beliau berkata kebenaran rentas negeri hanya diberi kepada mereka yang mempunyai urusan kecemasan.

“Saya percaya semua sekatan jalan raya (SJR) yang diaturkan oleh Ketua Polis Negeri (masing-masing) dan (semua) Ketua Polis Daerah telah bersedia untuk mengawal rentas daerah dan negeri.

“Rakyat perlu mematuhi arahan kerajaan, mana yang degil, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan