26.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

Rejim Zionis Israel perluas imperialisme di Tebing Barat

Mesti Baca

KETIKA dunia sedang berhempas pulas memerangi pandemik COVID-19 dan rakyat Palestin sedang memperingatkan 72 tahun peristiwa Nakbah dan menderita di bawah pendudukan, rejim Zionis Israel sedang mengambil langkah-langkah serius untuk memperluaskan pendudukan imperialis yang tidak bermoral di tanah-tanah rakyat Palestin.

Perkembangan terbaharu bermula pada 20 April 2020 di mana parti Likud yang diketuai Benjamin Netanyahu serta blok Biru dan Putih yang diketuai Benny Gantz menandatangani perjanjian untuk membentuk sebuah kerajaan darurat yang membenarkan Israel meluluskan undang-undang untuk mengilhakkan sebahagian besar Tebing Barat mulai awal Julai 2020.

Rancangan pengilhakan itu bermatlamat untuk menghalalkan dan mentadbir secara langsung penempatan-penempatan warga Israel yang dibina secara haram di sebahagian besar kawasan Jerusalem dan Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan, secara keseluruhan kira-kira 42% daripada keluasan Tebing Barat (63% Kawasan C), yang merangkumi 87% sumber asli di Tebing Barat, 90% daripada hutannya dan 49% daripada sistem jalan rayanya.

Langkah pengilhakan Israel itu merupakan satu lagi bentuk kolonisasi, keganasan dan gengsterisme yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap hak rakyat Palestin.

Merujuk kepada Konvensyen Geneva Keempat, kuasa yang menduduki tidak boleh memindahkan rakyatnya ke kawasan yang diduduki bagi mencegah kolonisasi di wilayah-wilayah yang diduduki.

Pengilhakan wilayah yang diperoleh melalui peperangan adalah dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa, seperti yang dinyatakan dalam mukadimah Resolusi 242 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1967, dan pengilhakan secara paksa serta sehala itu dikecam oleh PBB seperti yang berlaku kita Israel mengilhakkan Jerusalem Timur pada 1980 dan Tebing Golan pada 1981.

Rancangan pengilhakan Israel itu dilakukan selaras dengan usul Perjanjian Abad Ini oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel, Tebing Golan sebagai sebahagian daripada Israel dan memberi kedaulatan kepada Israel atas Lembah Jordan manakala membayangkan negara Palestin tanpa pasukan tentera.

Duta AS ke Israel, David Friedman telah mengesahkan bahawa pentadbiran AS bersedia untuk mengiktiraf pengilhakan Israel terhadap penempatan-penempatan di Tebing Barat.

Beberapa komuniti antarabangsa dan negara telah menolak rancangan Israel itu.

Pegawai-pegawai kanan Kesatuan Eropah (EU) dan PBB memberi amaran kepada Israel bahawa mereka menentang hasrat rejim berkenaan untuk mengilhakkan sebahagian Tebing Barat kerana tindakan itu merupakan kesalahan besar di bawah undang-undang antarabangsa.

Pegawai-pegawai Rusia juga telah menyatakan kebimbangan bahawa rancangan ini akan menjejaskan harapan untuk mewujudkan sebuah “negara Palestin yang bebas, berdaya maju dan mempunyai wilayah bersempadan”.

Advertisements

Perancis turut menggesa negara-negara EU mengancam untuk mengambil tindakan keras terhadap Israel jika rejim Zionis meneruskan pengilhakan tersebut.

Pegawai-pegawai Belgium, Ireland dan Luxembourg juga sedang membincangkan tentang kemungkinan untuk melaksanakan langkah-langkah menghukum Israel dari segi ekonomi.

Kami di Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) mengutuk sekeras-kerasnya rancangan rejim Zionis Israel untuk mengilhakkan wilayah-wilayah Palestin yang diduduki.

Kami menyeru semua kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis untuk menolak sepenuhnya rancangan ini dan meneruskan sokongan terhadap hak rakyat Palestin di atas tanah mereka sendiri.

Kami juga menyeru semua pihak mengambil langkah-langkah serius untuk melaksanakan sekatan dan memboikot Israel dalam semua aspek.

Kami turut memanjangkan seruan kepada kerajaan Malaysia untuk mengemukakan bantahan bertulis terhadap rancangan tidak sah Israel itu dan menggesa PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN untuk menggembleng tindakan antarabangsa bagi menghentikan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.

Semalam (13 Mei), PCOM telah menganjurkan mesyuarat tergempar dengan rakan-rakannya bagi membincangkan rancangan Israel itu.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Islamic Renaissance Front (IRF), Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Majlis Perundingan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Palestine Centre of Excellence (PACE) dan JUST International.

Pelan tindakan telah dirangka dengan merangkumi memulakan perhubungan bersama platform-platform rasmi dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan berkaitan, selebriti, aktivis, media dan sokongan serta melaksanakan aktiviti-aktiviti kesedaran dalam talian.

Lebih banyak tindakan akan diambil untuk menyokong tuntutan keadilan dan kebebasan untuk rakyat Palestin.

Selagi rakyat Palestin masih menderita, perjuangan dan penentangan terhadap pendudukan haram dan ganas oleh rejim Zionis Israel akan diteruskan.

PCOM

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan