Sunday, June 28, 2026

LRT3 Shah Alam pacu mobiliti, rancakkan ekonomi setempat – Anwar

Mesti Baca

PELANCARAN Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam hari ini menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang lebih moden, cekap dan bersepadu demi kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, projek itu bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih baik, malah membawa limpahan manfaat besar kepada jutaan penduduk yang tinggal di sepanjang jajaran laluan berkenaan.

Menurutnya, perkhidmatan LRT3 membolehkan rakyat menikmati perjalanan yang lebih pantas, selesa dan boleh dipercayai, sekali gus menjimatkan masa serta kos perjalanan harian di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

“Pada masa sama, LRT3 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang akan merangsang pelaburan baharu, memperluaskan peluang perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing kawasan yang dihubungkan oleh laluan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan LRT3 Laluan Shah Alam hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Anwar berkata, jaringan pengangkutan yang lebih baik turut membuka akses lebih luas kepada peluang pekerjaan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan pelbagai perkhidmatan penting kepada rakyat.

Katanya, kemudahan itu secara langsung mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat selain memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan saksama.

Beliau menegaskan, Kerajaan Madani akan terus komited melaksanakan pembangunan yang berteraskan keperluan rakyat, di samping memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

“Kerajaan akan memastikan setiap kemajuan yang dicapai memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, bukan sahaja untuk hari ini, malah demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

LRT3 adalah laluan keretapi sepanjang 37.8 kilometer yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia di Selangor. 

Projek bernilai berbilion ringgit itu dibangunkan oleh Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd, iaitu anak syarikat MRCB dan dimiliki oleh Prasarana Malaysia Berhad. 

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tambang percuma selama sebulan bermula 29 Jun hingga 31 Julai ini untuk perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas perantara di sepanjang laluannya. — Edisi 9

Terkini

Penurunan kadar kelahiran mengancam kelestarian ekonomi

Oleh PROF MADYA DR MOHAMMAD TAQIUDDIN MOHAMAD MALAYSIA sedang berhadapan dengan satu fenomena demografi yang semakin membimbangkan, namun kurang mendapat...

Lagi Artikel Berkaitan