Monday, June 8, 2026

MPMS kedua bakal lonjak keupayaan operasi Maritim Malaysia

Landskap keselamatan maritim ketika ini menuntut Maritim Malaysia memiliki platform operasi yang mampu bertindak pantas, fleksibel serta berdaya tahan tinggi di laut lepas.

Mesti Baca

PEROLEHAN Kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) Kedua dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kesiapsiagaan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dalam mendepani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perolehan MPMS Kedua bukan sekadar penambahan aset, sebaliknya menjadi penggandaan keupayaan operasi agensi ini dalam melaksanakan penguatkuasaan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

“Landskap keselamatan maritim ketika ini menuntut Maritim Malaysia memiliki platform operasi yang mampu bertindak pantas, fleksibel serta berdaya tahan tinggi di laut lepas.

“Perolehan ini memberi kelebihan kepada Maritim Malaysia dalam melaksanakan rondaan, penguatkuasaan undang-undang serta operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dengan lebih efisien,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Rosli berkata, keupayaan MPMS yang bersifat pelbagai guna membolehkan Maritim Malaysia bertindak dalam pelbagai situasi operasi termasuk penguatkuasaan serta pengurusan bencana maritim.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan kemajuan pembinaan MPMS Pertama yang kini mencapai 68.91 peratus sebagai petunjuk positif terhadap kelancaran pelaksanaan projek tersebut.

“Prestasi semasa yang mendahului jadual membuktikan keupayaan rakan strategik dalam memastikan projek ini berjalan lancar, sekali gus memberi keyakinan bahawa kedua-dua kapal dapat disiapkan lebih awal,” ujarnya.

Terdahulu, kontrak berkenaan ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman bersama wakil syarikat Desan Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoglu di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis menandatangani kontrak perolehan kapal tersebut telah disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan perairan negara.

Perolehan MPMS Kedua ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan Kelima (RMKe-12, RP5) Tahun 2025. 

Kontrak pembinaan kapal itu dianugerahkan kepada Desan Shipyard dengan nilai USD83.75 juta, melibatkan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Rosli memaklumkan pihaknya menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di ibu negara sebagai platform memperkenalkan keupayaan strategik agensi kepada umum.

“Penyertaan ini bukan sekadar pameran, tetapi menjadi medan penting untuk memperluas jaringan kerjasama, khususnya dalam aspek teknologi, keupayaan aset laut dan udara serta perkongsian kepakaran bagi mempertingkat keberkesanan operasi di perairan negara,” katanya.

Dengan langkah berterusan tersebut, Maritim Malaysia dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara agensi penguatkuasaan maritim yang berkeupayaan tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan