Sunday, July 19, 2026

Pengerusi NGO mengaku tidak bersalah selewang dana

Tertuduh dipercayai menganjurkan sebuah ekspo pendidikan pada 2024 menggunakan nama NGO tersebut namun hasil keuntungan dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

Mesti Baca

SEORANG pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya atas pertuduhan mengemukakan Penyata Kewangan Tahunan yang mengelirukan dengan menyembunyikan perbelanjaan sebenar pertubuhan itu, semalam.

Tertuduh, seorang wanita tempatan berusia 57 tahun, didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Aras 9, Blok Setia Perkasa 7, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya kira-kira pukul 12 tengah hari pada 25 Mac lalu.

Ketua Pengarah JPPM, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati tertuduh dipercayai menganjurkan sebuah ekspo pendidikan pada tahun 2024 menggunakan nama NGO tersebut, namun hasil keuntungan daripada penganjuran itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

Beliau berkata, tindakan sedemikian jelas melanggar prinsip tadbir urus yang baik dan boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap pertubuhan.

“Perbuatan menyalahgunakan dana pertubuhan untuk kepentingan peribadi adalah satu kesalahan serius. Ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencemarkan reputasi sektor pertubuhan secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 54(a)(i) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi manakala siasatan dijalankan oleh pegawai penyiasat, Inspektor S. Sivalingam dari JPPM.

Majistret, Ezrene Zakariah, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu Mohd Zulfikar berkata, JPPM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeleweng atau mengemukakan maklumat tidak tepat, khususnya melibatkan pengurusan kewangan pertubuhan.

“Setiap pertubuhan berdaftar wajib mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan. JPPM akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan integriti kawal selia pertubuhan sentiasa terpelihara,” katanya. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan