Thursday, June 4, 2026

Silaturahim Ramadan perkukuh tekad kepimpinan BN – Zahid

Perjuangan BN tidak pernah terhenti dan akan terus digerakkan selagi keyakinan serta kesetiaan terhadap prinsip perjuangan kekal utuh dalam kalangan kepimpinan dan ahli.

Mesti Baca

SEMANGAT kebersamaan dan iltizam dalam kalangan kepimpinan gabungan Barisan Nasional (BN) terus menjadi asas kekuatan perjuangan parti dalam mendepani cabaran politik semasa, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pertemuan kepimpinan tertinggi BN dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan memberi ruang untuk memperkukuh silaturahim serta menyegarkan kembali semangat perjuangan yang telah lama menjadi tunjang kekuatan gabungan tersebut.

“Alhamdulillah, sesekali dapat duduk bersama dalam suasana sebegini, dapatlah kami menyegarkan semula ukhuwah dan memperkukuh semangat perjuangan yang telah sekian lama menjadi tunjang kekuatan kita,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Sebelum itu Zahid menghadiri retreat BN yang diadakan di Institut Latihan Ummah (ILMU) di Janda Baik, Bentong, Pahang.

Hadir sama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Presiden PBRS, Datuk Seri Dr Arthur Joseph Kurup dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, perjuangan BN tidak pernah terhenti dan akan terus digerakkan selagi keyakinan serta kesetiaan terhadap prinsip perjuangan kekal utuh dalam kalangan kepimpinan dan ahli.

“Selagi ada keyakinan, selagi itu langkah akan terus diatur. Dengan kebersamaan dan iltizam yang sama, BN akan terus berdiri teguh, setia berkhidmat untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Zahid turut menegaskan bahawa semangat Ramadan harus dijadikan landasan untuk memperkukuh keikhlasan, mempererat perpaduan serta mempertegaskan komitmen kepimpinan BN dalam memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

Beliau yakin dengan semangat kebersamaan yang diperkukuh, BN mampu terus memainkan peranan penting sebagai wadah perjuangan yang konsisten dan bertanggungjawab demi kepentingan negara. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan