Friday, June 5, 2026

Imigresen serbu pusat hiburan di Bukit Bintang, 31 ditahan

Dalam operasi tersebut, seramai 98 warganegara asing telah diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 31 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Mesti Baca

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) terus mempergiat penguatkuasaan apabila melaksanakan satu operasi khas di sebuah pusat hiburan sekitar Bukit Bintang, di ibu negara awal pagi kelmarin.

Menurut kenyataan JIM, serbuan bermula pukul 3.15 pagi itu melibatkan seramai 85 pegawai dan anggota, termasuk Pasukan Taktikal Khas (Pastak). 

“Operasi berkenaan dijalankan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta penyalahgunaan pas imigresen di premis hiburan,” kata jabatan itu hari ini.

Dalam operasi tersebut, seramai 98 warganegara asing telah diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 31 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Ini termasuk tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Menurut JIM, individu yang ditahan terdiri daripada warganegara Myanmar, Thailand, Bangladesh, Filipina serta beberapa negara Afrika. 

“Turut ditahan dua lelaki warga Nigeria yang disyaki menyalahgunakan pas pelajar dengan bekerja sebagai DJ, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Kesemua warganegara asing terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan telah ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, dua warganegara tempatan turut diberikan Notis Kehadiran untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan lanjut berhubung operasi berkenaan.

JIM menegaskan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berfokus dan bersepadu dari semasa ke semasa.

Katanya, ini bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa terpelihara serta keselamatan dan ketenteraman awam terus terjamin. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan