SEORANG saintis Malaysia dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengharumkan nama negara apabila menerima pengiktirafan antarabangsa selepas namanya diabadikan pada spesies parasit ikan baharu yang ditemui penyelidik sains marin tersebut.
Spesies tersebut dinamakan Thelohanellus Borkhanuddini sebagai penghormatan kepada Prof. Madya Dr. Hafiz Borkhanuddin, mantan Ketua Program Biologi Marin UMT yang kini mengetuai Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).
Penemuan berkenaan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Aquaculture Reports serta mendapat perhatian media sains terkemuka dunia, National Geographic, sekali gus meletakkan penyelidikan tempatan dalam radar komuniti saintifik global.
Mengulas pengiktirafan tersebut, Hafiz berkata, beliau tidak menyangka sumbangannya dalam bidang sains marin serta parasitologi ikan diberi penghormatan tinggi di peringkat antarabangsa.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja untuk diri saya, malah untuk UMT, rakan penyelidik dan para pelajar yang bersama-sama menjayakan penyelidikan secara konsisten,” katanya.
Menurut beliau, penamaan spesies dalam taksonomi saintifik merupakan penghormatan akademik yang berkekalan kerana nama berkenaan akan terus direkodkan dalam literatur saintifik selagi spesies itu diiktiraf komuniti penyelidik dunia.
Kajian tersebut diketuai oleh alumni Program Biologi Marin UMT, Nadhirah Syafiqah Suhaimi yang kini merupakan calon doktor falsafah (PhD) di Hungary, sekali gus membuktikan kejayaan pelaburan universiti dalam pembangunan bakat penyelidikan bertaraf global.
Penemuan spesies baharu dalam genus Thelohanellus bukan sekadar pencapaian taksonomi, malah mempunyai implikasi penting terhadap kesihatan ikan ternakan, peningkatan produktiviti industri akuakultur serta kelestarian sumber protein akuatik dunia dalam menghadapi cabaran keselamatan makanan global.
Dalam pada itu, UMT menegaskan pencapaian berkenaan selari dengan komitmen universiti memperkukuh Agenda Ekonomi Biru melalui penyelidikan asas berkualiti tinggi, kerjasama rentas sempadan dan pembangunan kepakaran dalam biodiversiti serta kesihatan ekosistem akuatik.
Kejayaan tersebut sekali lagi membuktikan penyelidikan yang dilaksanakan secara konsisten mampu meninggalkan impak besar dalam landskap sains global, sekali gus mengukuhkan reputasi UMT sebagai institusi rujukan utama dalam bidang sains marin dan kelautan negara.

