SEORANG individu disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana dipercayai memuat naik kandungan bersifat mengancam, menghina dan jelik melampau terhadap kerabat Diraja Terengganu menerusi akaun peribadinya di platform X.
MCMC berkata, kandungan tersebut didapati menyentuh tengang agama, bangsa dan raja-raja (3R) berkaitan sensitiviti institusi diraja serta mengandungi unsur penghinaan dan ancaman yang berpotensi mencetuskan kebencian, ketegangan awam dan gangguan terhadap ketenteraman negara.
“Bagi membantu siasatan, individu berkenaan telah dipanggil untuk sesi rakaman percakapan yang dijalankan di Balai Polis Lanchang pada 21 Februari 2026 (semalam),” kata kenyataan MCMC hari ini.
Dalam sesi tersebut, MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM bagi tujuan analisis forensik digital.
Suruhanjaya itu berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap institusi diraja.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil secara tegas dan profesional selaras dengan undang-undang sedia ada tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak,” katanya.
Sehubungan itu orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang. — Edisi 9

