DATANG ke negara ini guna Pas Lawatan Sosial (PLS) tetapi ‘selamba’ membuka klinik kecantikan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur sejak setahun lalu.
Itulah perangai pelancong dari China yang kemudian turut menggunakan pelancong asing dari negaranya dan Myanmar sebagai pekerja.
Bagaimanapun, kegiatan warga China ini terbongkar apabila Jabatan Imigresen (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyerbu klinik tersebut semalam.
Dalam operasi penguatkuasaan Ops Dandan itu, seramai 18 individu diperiksa dan 15 warganegara asing telah ditahan.
Mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tujuh perempuan warganegara China serta dua perempuan Myanmar.
Warganegara asing terbabit disyaki menjalankan rawatan kecantikan tanpa kebenaran dan tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah.
“Siasatan awal mendapati warganegara China yang ditahan ini telah menyalahgunakan PLS untuk bekerja di negara ini.
“Klinik ini dipercayai dimiliki oleh seorang warganegara China yang turut menyalahgunakan pas dan telah beroperasi sejak setahun lalu serta telah mengaut untung ratusan ribu ringgit,” kata kenyataan JIM hari ini.
Dalam operasi itu, beberapa pakaian uniform, telefon bimbit, komputer riba, kamera litar tertutup, lesen perniagaan dan lain-lain dokumen berkaitan syarikat telah disita.
“Modus operandi klinik ini adalah menawarkan perkhidmatan rawatan muka dan kecantikan badan dengan menggunakan khidmat warganegara asing yang menyalahgunakan PLS untuk menjalankan prosedur kecantikan,” katanya.
Kesemua warganegara asing yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Pejabat JIM WPKL untuk tindakan lanjut.
Manakala tiga perempuan warganegara tempatan yang merupakan pekerja di klinik tersebut telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
JIM berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
“Masyarakat turut diingatkan agar tidak melindungi atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan terus melalui saluran aduan rasmi JIM demi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

