Tuesday, July 21, 2026

Sultan Selangor amat dukacita insiden penyokong bakar suar

Baginda tidak berkenan dengan budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Mesti Baca

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa berhubung insiden membakar suar oleh para penyokong Selangor FC di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu kelmarin.

Baginda selaku Penaung Selangor FC tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.

Baginda mahu agar pihak polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang. 

“la sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Kelmarin, seramai 33 penyokong Selangor FC ditahan, gara-gara membakar suar di jambatan ikonik Terengganu sehingga menganggu ketenteraman dan menimbulkan kegusaran orang ramai.

Kejadian berlaku sebelum perlawanan Liga Super antara Terengganu FC dan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin bertitah menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.

Baginda turut mencadangkan agar penyokong-penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, agar diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan