Friday, July 24, 2026

Skandal rasuah ATM: Bekas PAT, PTD akan didakwa mulai esok

Hafizuddiean dan isterinya, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan setiap seorang di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001. - SPRM

Mesti Baca

BEKAS Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Hafizuddiean Jantan akan didakwa di mahkamah mulai esok berhubung skandal rasuah terbesar dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kedua-dua pegawai tertinggi serta seorang orang awam iaitu isteri kepada Hafizuddiean, Salwani Anuar akan didakwa setelah memperoleh izin daripada Peguam Negara.

SPRM berkata, Hafizuddiean dan isterinya, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan setiap seorang di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur esok.

Hafizuddiean turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor pada 23 Januari.

“Manakala, Salwani juga akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin, 26 Januari 2026,” kata kenyataan SPRM hari ini.

Sementara itu Mohd Nizam pula akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ia susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“SPRM juga ingin memaklumkan bahawa siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

“SPRM menegaskan komitmen berterusan Suruhanjaya ini dalam memastikan setiap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa sebarang kompromi selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan