Wednesday, July 22, 2026

UMT sokong RPN 2026–2035, perkasa pendidikan pelajar OKU

Mesti Baca

UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) menyokong penuh pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 selaras dengan usaha memperkukuh sistem pendidikan negara yang lebih inklusif, adil dan berperikemanusiaan.

Menurut UMT, RPN itu menekankan keperluan membina insan berilmu, beradab serta berteraskan nilai ihsan, sekali gus memperluas akses pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

UMT berkata, universiti itu menyokong penuh inisiatif kerajaan menawarkan peluang pendidikan percuma kepada 3,000 pelajar OKU di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk pengecualian bayaran pengajian, sebagai langkah penting menjamin keadilan dan kesaksamaan akses pendidikan.

Menurutnya, setakat ini seramai lima pelajar OKU sedang mengikuti pengajian secara aktif di UMT, merangkumi kategori ketidakupayaan pembelajaran, pendengaran, penglihatan dan kesihatan mental.

Katanya, kesemua mereka berdaftar secara sah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memiliki Kad OKU.

“UMT komited menterjemahkan aspirasi nasional ini melalui pengurusan holistik kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa OKU yang diselaraskan oleh Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) menerusi Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa (PKKM),”katanya dalam kenyataan hari ini.

RPN 2026-2045 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

UMT berkata, pelbagai bentuk sokongan telah disediakan termasuk pengurusan Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU), sokongan akademik dan pengurusan peperiksaan khas.

Selain itu permohonan peralatan pembelajaran khas, penempatan kelas mengikut keperluan, penyediaan rakan pembimbing (buddies), kemudahan kenderaan khas serta sokongan kesejahteraan mental dan emosi turut disediakan.

Dalam aspek prasarana, UMT berkata, pihaknya turut menyediakan kemudahan kampus mesra OKU seperti bilik asrama khas, tandas, laluan pejalan kaki khas, petak parkir dan kemudahan lif di bangunan utama.

Sementara itu, salah seorang pelajar OKU kategori penglihatan, Nur Amalina Adriana, 22, berkata, sokongan yang disediakan universiti banyak membantu beliau menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.

“Persekitaran yang inklusif ini memberi keyakinan kepada saya untuk terus belajar dan membina masa depan seperti pelajar lain,” katanya.

UMT percaya pembangunan pendidikan tinggi yang sebenar bukan sahaja tertumpu kepada pencapaian akademik, malah turut merangkumi pembangunan insan yang berdaya tahan, berkeyakinan dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Sehubungan itu, kata UMT, pihaknya akan terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa pelajar OKU sebagai aset negara selaras dengan hala tuju RPN 2026–2035 ke arah merealisasikan pendidikan tinggi yang inklusif, berkualiti dan mampan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan