SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp. dan xAI LLC ekoran kegagalan platform media sosial itu memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.
MCMC berkata, setakat ini pihak peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat.
“MCMC telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya.
“Ini termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau, serta imej manipulasi tanpa persetujuan,” kata MCMC sambil menambah tindakan undang-undang itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Komunikasi.
MCMC berkata, kandungan yang didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak merupakan perkara yang amat membimbangkan.
“Perlakuan sedemikian menyalahi undang-undang Malaysia dan menjejaskan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti berkenaan.
“Notis telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari 2026 yang mengkehendaki penghapusan kandungan yang menyalahi undang-undang. Tiada tindakan pemulihan telah diambil,” katanya.
MCMC berkata, X Corp. dan xAI LLC boleh dipertanggungjawabkan walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna.
Katanya, merek kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan, serta langkah mitigasi risiko bagi Grok.
“Tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi,” katanya.
MCMC mengambil maklum kegagalan X Corp. dan xAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri.
Kegagalan itu, katanya, berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia.
“MCMC kekal komited untuk menegakkan undang-undang Malaysia dan melindungi kepentingan awam.
“Semua platform digital yang beroperasi di Malaysia atau memberi kesan kepada Malaysia hendaklah mematuhi sepenuhnya semua keperluan undang-undang dan kawal selia yang berkenaan,” katanya.
Pada 11 Januari lalu, MCMC telah mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.
MCMC berkata, tindakan itu diambil susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah, seksual eksplisi, tidak senonoh jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk kandungan melibatkan wanita dan kanak-kanak, walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC.
MCMC berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada kedua-dua pihak pada 3 dan 8 Januari lalu bagi menuntut, antara lain, pelaksanaan langkah perlindungan teknikal dan penyelia kandungan yang berkesan untuk mencegah kandungan janaan AI yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Edisi 9

