Thursday, June 4, 2026

SARA Bulanan disalur mulai 9 Januari, libatkan 8.1 juta penerima

Turut diumumkan penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 2026 akan bermula pada 20 Januari 2026, membabitkan peruntukan RM1.1 bilion...

Mesti Baca

KERAJAAN akan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Bulanan seawal 9 Januari ini dengan memperkenalkan beberapa penambahbaikan baharu bagi meningkatkan manfaat golongan penerima, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 sempena Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, Anwar berkata, pada tahun ini, sasaran kedai kecil yang terlibat dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 pada akhir tahun 2025, melengkapi cawangan pasar raya sedia ada.

Beliau berkata, seramai 5 juta penerima terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan akan disalur mulai Jumaat, diikuti pembayaran kepada 3.1 juta individu bujang pada 16 Januari.

“Penerima SARA bulanan akan menerima kredit antara RM50 hingga RM200 mengikut kategori kelulusan,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, secara keseluruhan, SARA Bulanan melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM8 bilion untuk tahun 2026, berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion pada tahun 2025.

Katanya, SARA Bulanan tahun lalu telah menunjukkan prestasi perbelanjaan hampir 100 peratus oleh penerima, termasuk di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bantuan SARA untuk semua sebanyak RM100 secara one-off akan disalurkan pada 9 Februari 2026 kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas bagi manfaat rakyat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, seramai 22 juta warganegara Malaysia, iaitu semua rakyat berumur 18 tahun dan ke atas, berkelayakan menerima kredit one-off tersebut.

“SARA untuk Semua 2025 telah mencatatkan penggunaan oleh 21.2 juta rakyat, iaitu 96 peratus penerima, dengan perbelanjaan hampir RM2.1 bilion.

“Seperti yang dijanjikan, baki SARA untuk Semua yang tidak dibelanjakan sekitar RM150 juta akan disalurkan semula bagi menjamin maslahat golongan rentan,” katanya.

Antara inisiatif yang dikenal pasti termasuk sokongan kepada penghuni pusat perlindungan seperti mangsa keganasan rumah tangga, bantuan untuk pelajar OKU dan keperluan khas, pembelian peranti perubatan untuk golongan rentan serta inisiatif Dapur SISWA untuk membantu pelajar kurang berkemampuan mendapat akses makanan.

Turut diumumkan penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 2026 akan bermula pada 20 Januari 2026, membabitkan peruntukan RM1.1 bilion untuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.

Penerima akan menerima antara RM100 dan RM500 mengikut kelayakan masing-masing. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan