BAHAGIAN Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) menyambut baik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menyifatkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dengan jumlah pengguna berskala besar sebagai berdaftar melalui mekanisme Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Menurut BHEUU, langkah tersebut penting bagi melengkapkan pelaksanaan serta memperkukuh matlamat utama Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dengan memastikan semua penyedia perkhidmatan digital beroperasi secara teratur di bawah kerangka kawal selia negara tanpa menjejaskan kesinambungan operasi platform global.
“Pendekatan ini juga mencerminkan prinsip akauntabiliti yang menjadi teras kepada Akta 866, iaitu memastikan penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab yang jelas terhadap keselamatan pengguna bagi melindungi golongan rentan khususnya kanak-kanak daripada kemudaratan dalam talian seperti buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandungan memudaratkan.
“Langkah ini juga dilaksanakan dengan mengambil kira keseimbangan antara keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara,” kata BHEUU, JPM dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, MCMC berkata, semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai 8 juta atau lebih pengguna di negara ini disifatkan berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP-C) mulai 1 Januari ini.
Suruhanjaya itu berkata, langkah tersebut dilaksanakan melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menerusi Peruntukan Deeming.
Katanya, ia bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia negara secara teratur serta berkesan.
BHEUU menjelaskan, penekanan diberikan kepada perlindungan golongan rentan terutama kanak-kanak daripada kemudaratan dalam talian seperti buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak serta penyebaran kandungan memudaratkan.
Dalam masa sama, BHEUU menegaskan bahawa pelaksanaan langkah tersebut turut mengambil kira keperluan mengekalkan keseimbangan antara aspek keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara.
Sehubungan itu, BHEUU, JPM akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC, kementerian dan agensi berkaitan serta pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dilaksanakan secara berfasa, telus dan berkesan.
Usaha berkenaan termasuk pengoperasian Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang ditubuhkan di bawah Akta 866 dan diselia oleh BHEUU, JPM.
Menurut kenyataan sama, Kerajaan MADANI kekal komited untuk membina ekosistem digital yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, di samping memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya tanpa mengorbankan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan awam rakyat Malaysia. – Edisi 9

