LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Bhd menghargai menghargai pendekatan konstruktif, keterbukaan serta kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu berhubung tanah ladang yang diusahakan.
Menurut kenyataan bersama FELDA dan FGV, ini termasuk keputusan melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026.
Mereka berkata, hasil perbincangan yang positif itu juga membolehkan FGV memulakan semula operasi ladang hari ini seperti dipersetujui.
“Perkembangan ini memberikan kelegaan besar kepada peneroka yang selama beberapa minggu ini berdepan ketidakpastian tentang pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka,” kata kenyataan itu hari ini.
FELDA dan FGV berkata, sejak awal, keutamaan mereka adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi serta ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara.
“Dengan penarikan notis terbabit, FELDA dan FGV kini dapat meneruskan operasi secara normal dan kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan,” kata mereka.
Kepastian itu, tambahnya, bukan sahaja mengembalikan keyakinan dalam kalangan peneroka dan pekerja, malah memastikan ekosistem ekonomi setempat terus stabil.
“FELDA dan FGV merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas komitmen dan kesediaan untuk terus mengadakan perbincangan secara profesional,” katanya.
Semalam, Kerajaan Terengganu bersetuju melanjutkan tempoh remedi selama sebulan hingga 7 Januari tahun depan, susulan perkembangan positif rundingan dengan FELDA berhubung isu tuntutan terhadap tanah milik kerajaan negeri yang dimajukan sebagai ladang komersial oleh FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV).
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Zulkifli Ali, berkata selepas notis kesalahan bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) disampaikan, kerajaan negeri telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan pengurusan tertinggi FELDA bagi mencari penyelesaian menyeluruh kepada isu-isu berbangkit.
Zulkifli menjelaskan, notis yang sudah dikeluarkan bagi kesalahan bawah Seksyen 425 KTN, akan ditarik balik sebaik saja satu perjanjian muktamad berjaya ditandatangani antara kerajaan negeri dengan FELDA berhubung perkara terbabit.
Minggu lalu, Kerajaan Negeri Terengganu mengeluarkan notis pencerobohan tanah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dipasang serentak di 10 tanag ladang diusahakan FGV iaitu di daerah Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas FELDA gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu. – Edisi 9

