LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad (FGV) komited untuk menyelesaikan isu ladang di wilayah Terengganu berlandaskan undang-undang.
FELDA dan FGV dalam kenyataan bersama berkata, FELDA mempunyai hak dan asas yang jelas serta kukuh ke atas ladang-ladang terbabit di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530].
Menurut mereka, akta tersebut memberi mandat dan tanggungjawab secara langsung kepada FELDA untuk membangunkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) serta selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956 [Akta 474].
“FELDA dan FGV mengakui wujudnya pelbagai pandangan dan spekulasi. FELDA dan FGV ingin menegaskan bahawa isu ini akan ditangani sepenuhnya secara profesional melalui prosedur perundangan yang ditetapkan bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam setiap tafsiran serta keputusan yang akan dibuat.
“FELDA dan FGV sedang meneliti implikasi undang-undang ini secara mendalam dan akan mengambil semua langkah yang perlu bagi mengurus kesannya terhadap FELDA dan FGV supaya kepentingan peneroka terus terpelihara.
“Pendekatan ini untuk memastikan perlindungan hak setiap pihak yang terlibat, termasuk menjamin kesinambungan pendapatan kesemua 1,283 pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada operasi ladang-ladang tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Mereka mengulas notis-notis amaran pendudukan secara tidak sah / kesalahan menceroboh di Daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman, Terengganu yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada 30 November, 1 dan 2 Disember 2025.
Notis – notis amaran ini merujuk kepada ladang lot FELDA dan FGV.
FELDA dan FGV menegaskan, pembangunan ladang komersial FELDA dan FGV di Terengganu selama ini bertujuan menjana pendapatan bagi menyokong pembangunan komuniti, penyediaan infrastruktur dan pelaksanaan program peningkatan sosioekonomi peneroka.
Katanya, ekosistem perladangan secara lestari melibatkan pengeluaran buah sawit hinggalah kepada pemprosesan buah tandan segar (BTS) ke jualan minyak sawit dilakukan oleh anak syarikat FELDA iaitu FGV.
Jelas mereka, operasi itu turut memainkan peranan penting dalam
merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan, perkhidmatan sokongan dan rantaian industri lain di negeri tersebut.
Sementara itu, FELDA dan FGV berkata, pihaknya akan terus mempertahankan kebajikan pekerja, kepentingan komuniti peneroka serta kestabilan sosioekonomi komuniti setempat sebagai keutamaan tertinggi dalam sebarang proses dan penyelesaian.
“FELDA dan FGV ingin menegaskan bahawa notis-notis amaran yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di FELDA Wilayah Terengganu.
“Komuniti peneroka boleh meneruskan aktiviti sara hidup seperti biasa,” katanya.
Walau bagaimanapun, jelas mereka, notis-notis amaran tersebut akanm memberi implikasi langsung terhadap operasi FELDA dan FGV khususnya perancangan jangka panjang dan kelancaran aktiviti komersial yang
berkaitan.
Tegas mereka, impaknya turut merangkumi penurunan hasil yang menyumbang kepada pendapatan negara sekali gus memberi kesan kepada komuniti peneroka yang bergantung kepada prestasi sektor perladangan. – Edisi 9

