DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Surhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan segera terhadap bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tanpa sebarang campur tangan luar.
Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Madani kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang.
“Saya menerima perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau.
“Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar.
“Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti, dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,”katanya menerusi menerusi media sosialnya hari ini.
Semalam, Shamsul Iskandar melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri kerana mendakwa ada percubaan untuk menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.
Justeru, katanya, peletakan jawatannya itu bagi membolehkan beliau mempertahankan diri daripada serangan tersebut.
Media semalam melaporkan bahawa Shamsul Iskandar didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan, Albert Tei berkaitan skandal perlombongan di Sabah.
Tei mendakwa dia memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Sebelum itu beliau yang hampir menewaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, terpalit dengan isu surat sokongan untuk projek hospital pada 2024 dengan menyenaraikan kontraktor kepada Kementerian Kesihatan (KKM). – Edisi 9

