GARA-GARA menyebarkan berita palsu dengan menyunting laporan portal berita tempatan, seorang pengguna Facebook terpaksa “menjawab” dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC berkata, individu berkenaan telah menyunting laporan asal berita dari Utusan Malaysia dengan menukar tajuk kepada “Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan US”.
Katanaya, imej suntingan tersebut yang disertakan dengan logo portal media Utusan Malaysia, didapati palsu dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
“Siasatan awal turut mengesahkan bahawa Utusan Malaysia telah menafikan penerbitan laporan berkenaan serta menjelaskan ia merupakan penyalahgunaan nama dan logo akhbar tersebut,” kata kenyataan MCMC hari ini.
Sehubungan itu, katanya, individu disyaki telah dipanggil bagi membantu siasatan dan keterangan telah dirakam pada hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka.
MCMC berkata, satu peranti telefon bimbit dan satu kad sim juga telah disita bagi tujuan analisis forensik digital.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, MCMC menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, terutamanya kandungan yang menggunakan identiti atau logo organisasi media tanpa kebenaran.
Katanya, penyebaran kandungan palsu boleh menjejaskan kredibiliti sumber berita sahih dan mengundang tindakan undang-undang. — Edisi 9

