URA-URA MIC mahu meninggalkan Barisan Nasional (BN) sedikit pun tidak akan mematikan parti itu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Sebaliknya, menurut beliau, BN masih mempunyai beberapa parti lain yang mewakili kaum India yang bergabung di bawah Friends of BN.
Malahan katanya, tanpa MIC, BN kini boleh membina semula parti itu pasca-2018 bersama-sama Makkal Sakti, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Punjabi dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).
“BN memang tidak boleh mengelak untuk ditinggalkan. Banyak parti tinggalkan BN selepas PRU (Pilihan Raya Umum) Ke-14. Bahkan ada yang meninggalkan UMNO secara berkumpulan dan individu. Itu tidak membunuh BN.
“Ini masa terbaik membina semula BN pasca 2018. BN masih ada Friends of BN yang juga mewakili kaum India seperti Makkal Sakti, MIUP, PPP, Parti Punjabi dan KIMMA.
“MIC membantah parti-parti tersebut menjadi ahli penuh BN. Sedangkan MIC sendiri gagal menarik sokongan orang India kepada BN. Maka biarlah MIC pergi,” katanya hari ini.
Mohd Puad berkata, jika benar MIC akan meninggalkan BN bulan depan, maka Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Timbalan Presiden, Datuk Seri M. Saravanan telah mencipta sejarah.
Bagaimanapun beliau yakin MIC tidak akan bergerak solo kerana parti itu memerlukan sokongan orang Melayu.
“Bolehkah MIC mendapat sokongan Melayu melalui PN (Perikatan Nasional). Jangan nanti yang dikejar tidak dapat yang dikendong keciciran. BN jalan terus,” katanya sinis. — Edisi 9

