Thursday, June 4, 2026

OMS Energy luas program baik pulih kepala telaga di Indonesia

Antara pelanggan utama yang terlibat dalam program berkenaan ialah Pertamina Hulu Rokan (PHR), pengendali huluan utama Indonesia dan rakan jangka panjang OMS. 

Mesti Baca

OMS Energy Technologies Inc. (OMSE), pengeluar sistem kepala telaga permukaan (SWS) dan barangan tiub negara minyak (OCTG) untuk industri minyak dan gas, mengumumkan peluasan program baik pulih kepala telaganya di Indonesia, sekali gus menandakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran syarikat di rantau ini.

Minat yang meningkat terhadap program tersebut mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan kejuruteraan berketepatan tinggi OMS serta komitmennya terhadap amalan mampan yang menyokong pertumbuhan bersama.

Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif OMS, How Meng Hock, proses baik pulih yang dijalankan mematuhi piawaian API 6A, melibatkan pembersihan menyeluruh, penggantian komponen terpilih dan pembaikan mekanikal berketepatan tinggi.

“Kemampanan adalah teras kepada pendekatan OMS terhadap kejuruteraan dan pertumbuhan.

“Program baik pulih kepala telaga kami membolehkan pengendali memanjangkan jangka hayat peralatan, mengurangkan kesan alam sekitar dan membebaskan modal untuk pelaburan semula dalam pembangunan telaga. 

“Ia merupakan inisiatif menang-menang yang menggabungkan inovasi dengan hasil perniagaan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara pelanggan utama yang terlibat dalam program berkenaan ialah Pertamina Hulu Rokan (PHR), pengendali huluan utama Indonesia dan rakan jangka panjang OMS. 

Menurut Meng Hock, kerjasama itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan OMS sebagai rakan teknikal dipercayai dalam sektor tenaga huluan, malah membuka peluang untuk pengembangan ke pasaran baharu di rantau Asia Tenggara.

“Langkah strategik ini turut menyokong aspirasi OMS untuk memperluas sumbangannya terhadap ekonomi pekeliling dan tanggungjawab alam sekitar, selaras dengan komitmen global ke arah industri tenaga yang lebih hijau dan cekap,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan