Monday, July 20, 2026

Tabung Haji tanggung RM210 juta pastikan bayaran haji kekal

Kos keseluruhan menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah kekal pada RM33,300, manakala kadar bayaran haji untuk semua kumpulan turut dikekalkan sebagaimana musim lalu.

Mesti Baca

LEMBAGA Tabung Haji (TH) berjaya mengekalkan kadar kos dan bayaran bagi jemaah muassasah untuk musim haji 1447H/2026M, sekali gus memastikan tiada peningkatan bagi tiga tahun berturut-turut walaupun berdepan persekitaran kos yang semakin meningkat di Tanah Suci.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, kos keseluruhan menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah kekal pada RM33,300, manakala kadar Bayaran Haji untuk semua kumpulan turut dikekalkan sebagaimana musim lalu.

Beliau berkata, bagi musim haji tahun depan, TH dianggarkan menanggung bantuan kewangan haji berjumlah RM210 juta bagi meringankan beban kewangan jemaah yang layak.

“Kejayaan mengekalkan kos haji membuktikan kecekapan pengurusan TH dalam mengawal kenaikan harga, di samping mengekalkan mutu perkhidmatan bertaraf dunia.

“Kami berbangga dengan pencapaian Diamond Award Labaytum musim lalu yang mengharumkan nama Malaysia. TH beriltizam mengekalkan tahap perkhidmatan terbaik yang diharapkan oleh jemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rashid turut berterima kasih kepada kerajaan yang mengekalkan bantuan RM1,000 bagi setiap jemaah kumpulan B40.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, TH berjaya mengekalkan kos haji melalui langkah strategik.

Katanya, ini termasuk tempahan awal, kontrak penyewaan jangka panjang bangunan penginapan di Mekah dan Madinah serta kontrak penerbangan selama lima tahun bagi mengawal kesan inflasi dan ketidaktentuan harga.

“Beberapa bangunan penginapan baharu dengan kemudahan moden telah dikenal pasti bagi memberi lebih keselesaan kepada jemaah haji,” katanya.

Beliau berkata, sejak bantuan kewangan haji diperkenalkan pada tahun 2001, jumlah terkumpul bantuan yang telah ditanggung TH mencecah lebih RM2.72 bilion dalam tempoh 25 tahun.

Katanya, mulai 2022, TH melaksanakan kadar Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi memastikan kelestarian kewangan institusi serta menepati konsep istito’ah iaitu kemampuan dalam menunaikan ibadat haji.

“Bagi jemaah kumpulan B40, kadar Bayaran Haji hanyalah 45 peratus daripada kos penuh, selepas mengambil kira bantuan TH sebanyak RM17,300 dan bantuan Kerajaan Madani RM1,000 seorang.

“Kumpulan M40 pula menerima bantuan sebanyak RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji, manakala jemaah T20 dengan pendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan akan membayar penuh RM33,300,” katanya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan