PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Sanae Takaichi atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu, sekali gus mencipta sejarah sebagai wanita pertama menerajui pentadbiran negara itu.
Menurut Anwar, pelantikan Takaichi bukan sahaja menandakan detik bersejarah dalam landskap politik Jepun, malah mencerminkan ketegasan peribadi beliau serta kematangan demokrasi negara matahari terbit itu.
“Malaysia amat menghargai hubungan Rakan Strategik Komprehensif dengan Jepun yang berteraskan kepercayaan, inovasi dan komitmen bersama terhadap kestabilan serantau serta pertumbuhan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau menantikan kehadiran Perdana Menteri Takaichi ke Kuala Lumpur minggu hadapan sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, yang dijangka memperkukuh lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
Dalam pada itu, beliau turut merakam penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba atas lawatan beliau ke Malaysia awal tahun ini yang menyemarakkan lagi persahabatan erat antara Kuala Lumpur dan Tokyo.
Takaichi, tokoh politik beraliran konservatif yang digelar ‘Iron Lady’ Jepun, mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama negara matahari terbit itu pada Selasa.
Takaichi, 64, memenangi undian Parlimen selepas mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) dan membentuk gabungan dengan parti pembangkang Japan Innovation Party (Ishin).
Beliau yang dikenali kerana ketegasan dan kekagumannya terhadap bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher, dianggap sebagai figura berprinsip tegas dalam politik Jepun. — Edisi 9

