Thursday, June 4, 2026

Lantikan warden sepenuh masa di MRSM keperluan mendesak

Ramai guru mengadu terbeban untuk berjaga selepas jam 12 tengah malam untuk membuat rondaan kerana perlu hadir ke kelas seawal jam 6.30 pagi keesokannya.

Mesti Baca

PEMILIHAN bekas anggota tentera atau polis sebagai warden asrama sepenuh masa di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) adalah satu keperluan mendesak bagi menangani insiden buli yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau tidak pernah menyatakan pendekatan itu adalah yang terbaik, namun keberkesanannya perlu dilihat terutama ketika guru MRSM berdepan kekangan melaksanakan tugas berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas diterimanya dan hasil lawatan mengejut ke MRSM, ramai guru mengadu terbeban untuk berjaga selepas jam 12 tengah malam untuk membuat rondaan kerana perlu hadir ke kelas seawal jam 6.30 pagi keesokannya.

“Aktiviti tidak bermoral, seperti buli lazimnya tidak berlaku sebelum jam 12 tengah malam atau waktu akademik dan sebab itu ketiadaan warden yang memantau secara berterusan pada waktu berisiko seperti ini membuka ruang untuk buli berlaku.

“Selain itu, elaun yang kecil, sekadar RM300 tambahan sebagai warden tidak berbaloi dengan tanggungjawab tambahan yang terpaksa digalas oleh guru.

“Pada masa sama, adalah lebih berkesan jika warden yang bertugas sepenuh masa di asrama dilantik untuk memfokuskan pembangunan disiplin dan sahsiah pelajar di luar waktu akademik bermula jam 6 petang atau 7 malam,” kata beliau dalam Facebooknya, hari ini.

Ogos lalu, MRSM memulakan projek rintis menempatkan warden bekas tentera di asrama pelajar sebagai inisiatif penting menangani keganasan dan buli di institusi itu.

Projek rintis berkenaan dilaksanakan selama enam bulan di MRSM Balik Pulau dan MRSM Besut, selepas Asyraf Wajdi mengemukakan cadangan itu pada April.

Asyraf Wajdi, berkata buat masa ini, terlalu pramatang untuk beliau mengulas keberkesanan pendekatan berkenaan.

“Biarlah program rintis yang sedang berjalan dan masuk bulan ketiga di beberapa MRSM ini selesai dalam tempoh enam bulan tempoh penilaian dan selepas itu, pasukan penyelidik yang menjadi pihak ketiga serta bebas dari Universiti Putra Malaysia (UPM) akan membuat penilaian dan penyelidikan mengenai inisiatif MARA ini.

“Insya-Allah, saya pasti akan kongsikan dapatan kajian, sama ada positif mahu pun negatif untuk diangkat kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) merangkap menteri yang bertanggungjawab ke atas MARA untuk membuat keputusan, sekali gus berkongsi dapatan ini dengan Jemaah Menteri,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan