PEMUDA UMNO mendesak kerajaan membatalkan jemputan ke atas Presiden Donald Trump sekiranya aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) terutama rakyat Malaysia tidak dibebaskan.
Laungan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh setelah konvoi GSF yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza disekat oleh rejim Zionis Israel manakala para aktivis dan sukarelawannya ditahan.
Beliau berkata, jika tidak berbuat demikian, Pemuda UMNO dari seluruh negara akan turun membantah di hadapan Trump secara besar-besaran semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu ke Kuala Lumpur.
“Biar kita berdepan dengan Trump secara terus! Sakiti mereka (aktivis GSF), sama dengan sakiti kami semua rakyat Malaysia! Bebaskan aktivis Global Sumud Flotilla!,” kata beliau menerusi media sosialnya hari ini.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Pas, Hanif Jamaluddin pula menggesa para penyokong Pas untuk turun beramai-ramai di hadapan pejabat Kedutaan AS di Kuala Lumpur sebagai membantah tindakan Israel menahan aktivisi GSF.
Beliau berkata, perhimpunan tersebut akan diadakan pada pukul 4 petang ini.
“Ayuh rakyat Malaysia khususnya Pemuda Pas di seluruh negara, kita turun petang ini jam 4 petang di hadapan Kedutaan AS bagi menyatakan solidariti kita, dukungan kita buat para pejuang dalam misi Global Sumud Flotilla,” katanya menerusi satu rakaman video sebentar tadi.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel berhubung penahanan rakyat negara ini.
Katanya, keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan dan beliau tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli. – Edisi 9

