KERAJAAN menyarankan orang ramai memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat bagi memastikan kelayakan untuk menerima subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) tidak terjejas menjelang pelaksanaannya sepenuhnya esok.
Ini kerana berdasarkan analisis Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan, terdapat sebahagian data lesen memandu yang masih menggunakan nombor lama seperti nombor polis, nombor tentera, atau nombor IC lama dan tidak sepadan dengan format MyKad 12 digit.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang layak diminta menyemak maklumat pada lesen memandu masing-masing di samping memastikan nombor MyKad 12 digit digunakan dan direkod dengan betul dalam lesen memandu.
Selain itu, nama pemegang lesen juga adalah tepat serta kelas dan jenis kenderaan dinyatakan dengan betul.
“Penyelarasan ini diperlukan kerana butiran pada lesen memandu akan disemak silang dengan maklumat dalam MyKad, yang merupakan dokumen dibaca oleh terminal pembayaran di stesen minyak untuk pengesahan kelayakan.
“Sekiranya terdapat sebarang ketidakselarasan, sila hadir ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengemas kini maklumat lesen memandu. MOF dan MOT akan menyegerakan penyelarasan data secara mingguan bagi memastikan rakyat dapat menikmati harga bersubsidi BUDI95,” kata MOF dalam kenyataan hari ini.
Pelaksanaan penuh subsidi bersasar bagi pembelian RON95 pada harga RM1.99 akan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia yang mempunyai MyKad dan lesen memandu dengan jumlah maksimum sebanyak 300 liter sebulan.
Sementara itu, dari segi pelaksanaan, sistem BUDI95 kekal stabil pada hari kedua semalam apabila ia dibuka kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan lesen memandu aktif.
Kata MOF, hampir 500,000 daripada keseluruhan 6.1 juta penerima STR, bersama anggota tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak di seluruh negara.
“Sepanjang 28 September 2025, sebanyak RM22.9 juta pembelian telah direkodkan bagi 11.5 juta liter petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, dengan pengesahan MyKad di stesen minyak berjalan lancar,” katanya.
Katanya, sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September 2025, seramai 8.6 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan mereka untuk memanfaatkan subsidi RON95.
Portal BUDI95 kini juga dilengkapi dengan ciri semakan sejarah transaksi BUDI95.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 untuk maklumat lanjut. – Edisi 9

