Thursday, June 4, 2026

Zahid tinjau operasi Pusat Kawalan Sumud Nusantara di Sepang

Kehadiran beliau sebagai tanda solidari kerajaan Malaysia terhadap misi kemanusiaan global frotilla bagi menghulurkan bantuan ke Gaza, Palestin tersebut.

Mesti Baca

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkunjung ke Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Gudang Pusat MAPIM di Sepang, Selangor.

Kehadiran Ahmad Zahid sebagai tanda solidari kerajaan Malaysia terhadap misi kemanusiaan global frotilla bagi menghulurkan bantuan ke Gaza, Palestin tersebut.

Menurut beliau, misi tersebut melibatkan delegasi dari 45 buah negara, termasuk 34 wira kemanusiaan Malaysia yang sanggup meredah lautan demi menyampaikan suara dunia menentang kekejaman dan sekatan haram rejim Zionis terhadap Gaza.

“Saya berkesempatan mendengar sendiri taklimat daripada Datuk Dr Sani Araby, CEO MAPIM merangkap Ketua Pengarah Command Center bersama Cinta Gaza Malaysia dan Cinta Salam Malaysia serta pasukan koalisi NGO. 

“Pusat kawalan ini berperanan penting sebagai nadi komunikasi, respons krisis dan penyampaian naratif rasmi Malaysia dalam misi bersejarah ini,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sidang video bersama 34 sukarelawan kemanusiaan Malaysia yang menyertai Sumud Nusantara.

Ahmad Zahid berkata, paling menyentuh jiwanya apabila dapat berhubung secara langsung melalui panggilan video dengan kesemua 34 delegasi Malaysia yang kini berada di perairan Mediterranean yang diketuai oleh Nadir Al-Nuri.

Katanya, walaupun berdepan risiko serangan 15 dron dan gangguan komunikasi, wajah-wajah mereka tetap memancarkan keberanian dan tekad yang tidak pernah luntur.

“Saya titipkan doa dan kata-kata semangat buat mereka. Malaysia bangga dengan keberanian anak-anak bangsa ini dan dunia sedang menyaksikan keberanian mereka menulis sejarah.

“Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa, berkongsi maklumat sahih dan mengelakkan penyebaran berita palsu dan propaganda regim Israel.

“Kita bukan sekadar menyaksikan – kita adalah sebahagian dari gelombang solidariti global ini untuk membebaskan Palestin dan menghentikan perang Gaza,” katanya.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan semasa Sumud Nusantara di pautan rasmi www.sumudnusantara.com.

— Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan