Thursday, June 4, 2026

Serangan terhadap OCPD Dang Wangi keji, tidak bertamadun

Kebebasan rakyat untuk berhimpun tidak boleh disalah guna dan mesti dipatuhi dalam kerangka undang-undang, adab serta norma masyarakat - Saifuddin Nasution

Mesti Baca

INSIDEN menyerang penjawat awam sehingga mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika operasi pengosongan kediaman di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur adalah tindakan keji, tidak bertamadun dan tidak boleh sama sekali diterima. 

Sambil mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut, Menteri Dalam Negara, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan

Bagaimanapun, tegas beliau, kebebasan itu tidak boleh disalah guna dan mesti dipatuhi dalam kerangka undang-undang, adab serta norma masyarakat. 

“Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang termaktub terhadap undang-undang; setiap warga perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan mengelakkan sebarang tindakan bercanggah dengan peraturan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian hari ini, OCPD Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru tersebut.

Menurut laporan media, Suzilme cedera susulan kekecohan akibat rempuhan penduduk yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.

Terdahulu, operasi pengosongan bangunan kecoh seketika apabila penduduk mula mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan berkenaan.

Operasi berkenaan dilaporkan diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.

Tindakan itu diambil susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan.

Ekoran insiden tersebut, Saifuddin berkata, beliau mengarahkan pihak berkuasa untuk segera melaksanakan siasatan rapi, dan memastikan dalang serta pelaku yang terlibat dibawa segera ke muka pengadilan. 

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat, serta integriti pasukan keselamatan negara, adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.

“Kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian,” kata beliau.

Prinsip itu, katanya, konsisten dipelihara sejak sekian lama, dengan pelbagai himpunan yang berlangsung tanpa sekatan, selagi mana ia mengikut lunas undang-undang.

“Namun, kebebasan ini hadir bersama tanggungjawab. la menuntut semua pihak untuk mematuhi hukum, adab, serta undang-undang negara,” katanya

Justeru, tegas beliau, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana usaha menyalahgunakan hak berhimpun untuk tujuan politik sempit, mencetuskan suasana tidak tenteram, atau menghasut kebencian melalui maklumat palsu. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan