Friday, June 5, 2026

Fahmi mahu Tiktok lebih serius sekat pengguna bawah 13 tahun

Ada platform media sosial termasuk TikTok yang menerima kewujudan akaun pengguna bawah umur yang jelas melanggar garis panduan komuniti platform itu sendiri.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Komunikasi tidak berpuas hati dengan aplikasi media sosial seperti Tiktok yang tidak serius menyekat pengguna bawah 13 tahun daripada mengakses platform mereka.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ekoran itu menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada kandungan tidak sesuai sekaligus mengancam keselamatan mereka.

Tegas beliau, pihak kementerian mendapati ada platform media sosial termasuk TikTok yang menerima kewujudan akaun pengguna bawah umur yang jelas melanggar garis panduan komuniti platform itu sendiri.

“Semakan mendapati sistem sedia ada gagal menapis pengguna bawah umur. Malah, ramai murid sekolah rendah sudah mempunyai akaun TikTok walaupun garis panduan TikTok sendiri melarang mereka berusia bawah 13 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan dialog dengan wakil TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta Jabatan Peguam Negara (AGC) di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar.

Fahmi menegaskan, TikTok perlu memuktamadkan mekanisme yang berkesan bagi mengesahkan umur pengguna. 

Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk penggunaan proses pengesahan identiti elektronik (e-KYC) serta menyekat ciri tertentu seperti komen atau perkongsian video sehingga proses verifikasi selesai.

“Kaedah ini telah dilaksanakan di negara seperti Singapura, Australia dan China, di mana beberapa ciri platform disekat jika pengesahan identiti tidak dibuat. 

“Kita beri masa kepada TikTok untuk menentukan langkah yang perlu diambil,” katanya.

Mesyuarat turut menyentuh kerjasama TikTok dengan pihak polis dalam menangani isu berita palsu termasuk kes video tular baru-baru ini melibatkan individu yang mendakwa dirinya pakar bedah dalam kes Zara Qairina Mahathir.

Fahmi berkata,  pihak berkuasa juga bimbang dengan kandungan tidak bermoral termasuk bahan berunsur pedofilia yang dikesan menerusi Op Pedo, membabitkan kumpulan atas talian seperti “Geng Budak Sekolah” yang berlegar di WhatsApp dan Facebook.

“Kami lihat masih ada platform yang tidak mengambil isu ini dengan serius. Dialog seperti ini akan diteruskan dan kami akan tekankan bahawa undang-undang Malaysia terpakai dan mesti dipatuhi. Semua platform akan dipanggil,” tegasnya.

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan