SERAMAI 11 warganegara asing diberi Notis Penolakan Masuk (NPM) oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Kompleks Imigresen, Kuarantin, Kastam dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.
AKPS berkata, tindakan penguatkuasaan tersebut diambil selepas kesemua individu tersebut didapati telah melakukan pelbagai kesalahan dan gagal mematuhi syarat kemasukan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 8(3), Akta Imigresen 1959/63.
Agensi itu berkata, kesemua individu yang ditolak masuk terdiri daripada sembilan sembilan lelaki dan dua perempuan, yang merupakan warga Bangladesh, Thailand, India dan Sri Lanka.
“Selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuat kuasa, kesemua warganegara asing tersebut telah diarahkan untuk berpatah balik ke negara asal mereka melalui pintu masuk yang sama dengan serta-merta,” kata AKPS dalam kenyataan hari ini.
Katanya, AKPS memandang serius setiap percubaan untuk memasuki negara tanpa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi kemudahan imigresen negara.
Tindakan tegas tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan AKPS untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan sempadan negara daripada sebarang bentuk ancaman.
“AKPS akan terus memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan hanya pelawat asing yang tulen dan memenuhi syarat sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya. – Edisi 9

