Thursday, June 4, 2026

Helah guna laluan transit gagal, 16 warga Indonesia diusir

Seorang pegawai penguat kuasa kaunter rujukan pula didapati memberi cop masuk kepada seorang warganegara India tanpa memenuhi syarat kemasukan.

Mesti Baca

SERAMAI 16 warga Indonesia diarah pulang serta-merta selepas cubaan mereka untuk memasuki Malaysia secara haram menggunakan helah transit digagalkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menurut AKPS, kesemua individu terbabit yang terdiri daripada tujuh lelaki dan sembilan wanita berusia antara 30 hingga 57 tahun, tiba dari Surabaya dengan destinasi akhir penerbangan ke Hatyai, Thailand.

“Hasil soal siasat dan semakan lanjut melalui sistem MyIMMs mendapati 15 daripada mereka mempunyai rekod disenarai hitam atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan sebelum ini, manakala seorang lagi gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” kata AKPS dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan mendedahkan modus operandi mereka adalah dengan menggunakan khidmat ejen atau ‘tekong’ untuk ke Hatyai melalui transit di Malaysia, sebelum cuba masuk semula ke negara ini menggunakan ‘laluan tikus’ di sempadan utara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Berikutan itu, jelas AKPS, kesemua individu terbabit telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan diarah pulang ke negara asal dengan serta-merta.

Dalam perkembangan berasingan, Pasukan Pemantau KLIA2 turut mengesan seorang pegawai penguat kuasa kaunter rujukan yang didapati memberi cop masuk kepada seorang warganegara India tanpa memenuhi syarat kemasukan (counter-setting).

Kata AKPS, pegawai terbabit telah dirujuk kepada unit integriti untuk siasatan lanjut.

AKPS menegaskan bahawa kawalan di semua pintu masuk negara akan terus diperketatkan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang percubaan memasuki negara secara tidak sah. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan