Wednesday, July 22, 2026

Jangan normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan – MCMC

MCMC memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan...

Mesti Baca

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan yang merendah atau menghina maruah individu.

Ini kerana, menurut suruhanjaya itu, ia bukan sahaja tidak beretika malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.

Sehubungan itu, MCMC kini telah memulakan siasatan berdasarkan aduan orang ramai berhubung penyebaran video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.

“MCMC memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan, dan menimbulkan keresahan orang ramai.

“MCMC menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tangkap layar video tiga remaja memberi sisa makanan kepada gelandangan yang dikecam netizen.

MCMC juga memberi ingatan agar tidak menyebar atau memuat naik sebarang kandungan bersifat provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Kata MCMC, sebarang perkongsian kandungan jelik melampau, palsu atau berunsur ancaman boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 [Akta 588]. 

Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“MCMC komited dan tegas memastikan ruang siber tidak disalahgunakan, sejajar dengan usaha mengekalkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang menggesa MCMC mengambil tindakan ke atas sekumpulan pempengaruh yang memberikan nasi beserta tulang ayam yang telah dimakan kepada seorang gelandangan.

Chun Kuang berkata, kandungan video itu bukan sahaja tidak sensitif, malah memperlekehkan maruah insan lain dan tidak wajar sama sekali menjadikan penderitaan golongan terpinggir sebagai bahan hiburan atas nama ‘kebajikan’.

Video yang tular itu turut dikecam oleh warganet kerana perbuatan tersebut jelas  memperlekehkan golongan yang tidak  bernasib baik. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan