JARANG-JARANG berlaku tetapi itulah realiti apabila sebuah premis hiburan di Petaling Jaya menjadikan wanita warga Sri Lanka sebagai gadis penghibur pelanggan (GRO).
Lebih pelik premis tersebut sudah acap kali diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia tetapi tetap berdegil dengan menggajikan wanita warga asing sebagai GRO.
Dalam serbuan terbaharu, JIM menggerakkan 40 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA serta pegawai PASTAK dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, JIM Putrajaya setelah membuat risikan selama seminggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakari Shaaban berkata, semasa serbuan dijalankan, kesemua warganegara asing yang berada di premis berkenaan telah cuba melarikan diri dengan bersembunyi di tingkat atas premis bagi mengelakkan diri daripada ditangkap.
“Seramai 20 individu telah diperiksa, terdiri daripada lapan warganegara tempatan dan 12 warganegara Sri Lanka.

“Hasil pemeriksaan, 11 individu telah ditahan, terdiri daripada sembilan wanita warganegara Sri Lanka yang bekerja sebagai pelayan di premis tersebut dan dua lelaki warganegara Sri Lanka yang turut bekerja di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(C), Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155).
Katanya, pasuk operasi turut mengeluarkan Borang 29 (saman saksi) kepada kesemua pelanggan dan pekerja premis terbabit.
“Operasi ini turut melaksanakan pendekatan siasatan awal bagi tujuan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
“Hasil semakan dan penilaian awal mendapati tiada sebarang elemen eksploitasi berlaku terhadap kesemua wanita warga Sri Lanka tersebut, dan tiada sebarang kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] dikesan,” katanya.
Kesemua wanita terbabit berusia antara 20 hingga 33 tahun dan telah bekerja hampir setahun di premis berkenaan dengan bayaran gaji sekitar RM2,000 sebulan.
Berdasarkan pengakuan lisan, hampir kesemua pasport mereka telah dipegang oleh majikan sebelum dibenarkan bekerja di premis tersebut.
“Modus operandi perniagaan premis berkenaan adalah dengan mengambil wanita warganegara Sri Lanka untuk dijadikan pelayan bagi menghiburkan pelanggan.
“Premis ini pernah beberapa kali diserbu dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, namun masih terus beroperasi,” katanya.
Kesemua individu yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang terlibat dalam kesalahan di bawah Akta ATIPSOM 2007 [Akta 670], Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155], dan Akta Pasport 1966 [Akta 150]. — Edisi 9

