Friday, June 5, 2026

KIS bentuk jati diri digital para pelajar sekolah rendah

Kesedaran tentang keselamatan siber perlu dipupuk sejak kecil agar pelajar mampu mengenal pasti risiko dalam talian serta mengamalkan penggunaan internet yang sihat dan bertanggungjawab.

Mesti Baca

KARNIVAL Kempen Internet Selamat (KIS) Peringkat Negeri Selangor 2025 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9, Shah Alam hari ini berjaya menarik penyertaan lebih 240 pelajar dan 24 guru dari 12 buah sekolah rendah sekitar Shah Alam.

Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor itu merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memperkukuh kesedaran keselamatan digital dalam kalangan murid sekolah rendah.

Menurut kenyataan MCMC, penganjuran karnival tersebut bertujuan membentuk jati diri digital yang beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda, seawal usia di bangku sekolah.

“Kesedaran tentang keselamatan siber perlu dipupuk sejak kecil agar pelajar mampu mengenal pasti risiko dalam talian serta mengamalkan penggunaan internet yang sihat dan bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

Program itu turut dihadiri oleh Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran serta Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri, MCMC, Bukhari Yahya.

Antara sekolah yang turut serta dalam karnival itu ialah SK Seksyen 6, SK Seksyen 7, SK Seksyen 13, SK Seksyen 17, SK Seksyen 18, SK Seksyen 19, SK Seksyen 20, SK Shah Alam, SK Kota Kemuning, SK Padang Jawa dan SK Bandar Anggerik.

Pelbagai aktiviti interaktif dan menarik turut diadakan sepanjang karnival berlangsung, termasuk persembahan koir oleh murid SK Seksyen 9, Dinding Ikrar, pameran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta penglibatan murid dalam sesi pembelajaran menggunakan Modul Kempen Internet Selamat untuk Tahap 1 dan Tahap 2.

Tambah MCMC, pihaknya komited untuk memperluaskan pelaksanaan program KIS ke lebih banyak sekolah rendah dan menengah, termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara dalam masa terdekat.

“Langkah ini diharap dapat mewujudkan sebuah ekosistem digital yang selamat, inklusif dan sejahtera, sekali gus memperkasakan generasi masa depan negara dalam mendepani cabaran dunia siber,” jelas kenyataan itu lagi. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan