PERSIDANGAN ASEAN Change Management (ACMC) 2025 bakal membuka tirainya pada 1 dan 2 Oktober ini di ibu negara dengan membawa mesej perubahan lebih tegas dan berpaksikan tindakan nyata.
Bertemakan Meningkatkan Hasil, Perubahan yang Tepat!, persidangan anjuran K-Pintar Sdn. Bhd. itu dijangka menghimpunkan lebih 500 peserta termasuk pembuat dasar, pemimpin industri dan pengamal perubahan dari seluruh rantau Asia Tenggara.
Pengerusi ACMC merangkap Ketua Pegawai Eksekutif K-Pintar, R.A. Thiagaraja berkata, perubahan masa kini perlu dilihat sebagai satu disiplin yang boleh diasah dan bukan sekadar semakan dasar atau slogan semata-mata.
“Di rantau yang pelbagai dan dinamik seperti ASEAN, perubahan tidak boleh diimport, sebaliknya perlu diterjemahkan mengikut konteks setempat.
“Tahun ini, kita tidak lagi mahu sekadar menyedarkan, tetapi menekankan tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ACMC 2025 turut menampilkan barisan penceramah dari England, Poland, Afrika, India, Singapura dan Malaysia yang akan menggabungkan pengalaman antarabangsa dengan realiti tempatan untuk mencari penyelesaian yang lebih praktikal dan berkesan.
Berbeza dengan kebanyakan persidangan yang tertumpu kepada teori dan wacana akademik, ACMC memberi penekanan kepada pendekatan berasaskan realiti melalui lima fokus utama iaitu Trend dan Inovasi; Budaya Organisasi; Psikologi dan Neurosains; Kepimpinan Perubahan dan Asas; serta Transformasi Digital.
Katanya, kesemua topik itu akan dihuraikan menerusi kelas induk, bengkel interaktif, sesi dialog serta ‘design sprint’ yang memberi ruang kepada peserta mengaplikasikan pembelajaran secara langsung dalam organisasi masing-masing.
Thiagaraja berkata, persidangan tahun ini turut disertai oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebagai rakan kerjasama strategik, sekali gus membawa perspektif sektor awam Malaysia ke dalam wacana perubahan serantau.
Kerjasama itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memacu inovasi dan reformasi perkhidmatan awam ke arah sistem penyampaian yang lebih berkesan dan berpandangan jauh.
“INTAN sentiasa komited memupuk kepimpinan sektor awam yang mampu mendepani cabaran semasa dan berpaksikan nilai serta integriti,” kata lNTAN.
Dalam masa sama, ACMC 2025 turut menerima kerjasama organisasi tempatan dan antarabangsa seperti PMI Malaysia Chapter, Institut Koperasi Malaysia (IKMA), PIKOM, GBS dan Prosci (Amerika Syarikat), dalam usaha mewujudkan komuniti pengamal perubahan serantau yang mampan.
Thiagaraja berkata, dengan cabaran ekonomi digital, gangguan teknologi dan perubahan landskap global, sudah tiba masanya ASEAN membentuk pendekatan bersama yang lebih berani, inklusif dan berimpak tinggi.
“Kita mesti berhenti melihat perubahan sebagai sesuatu yang bersifat ad hoc, dan mula mengiktirafnya sebagai satu kemahiran penting untuk kelangsungan organisasi dan negara,” katanya.
Pendaftaran bagi menyertai persidangan kini dibuka melalui laman web rasmi: https://aseanchangemanagementconference.com. — Edisi 9

